Thursday, June 30, 2022
Home BERITA Kes COVID-19 tidak naik mendadak selepas Aidil Fitri, Khairy ucap tahniah

Kes COVID-19 tidak naik mendadak selepas Aidil Fitri, Khairy ucap tahniah

0
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin percaya rakyat Malaysia ada kemampuan untuk menjayakan fasa peralihan ke endemik.
Kata Khairy, ia terbukti apabila tiada peningkatan mendadak kes COVID-19 direkodkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Tahniah rakyat Malaysia. Kita melihat dari segi tingkah laku rakyat Malaysia sangat baik dalam fasa peralihan endemik. Di kawasan terbuka luar pun masih lagi pakai pelitup muka.

“Maknanya rakyat Malaysia sudah tahu cara macamana hendak hidup dengan COVID-19 dan mereka juga tahu sekiranya ada gejala, jangan keluar, jangan campur dengan masyarakat dan asingkan diri.

“Jadi nampak rakyat Malaysia memang ada kemampuan untuk menjayakan peralihan ke endemik ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hari Asma Sedunia 2022 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jangkaan sesetengah pihak yang meramal kes COVID-19 akan naik mendadak selepas Aidilfitri.

Sebaliknya selepas dua minggu, keadaan masih terkawal dan tiada peningkatan mendadak berlaku.

Dalam pada itu, Khairy berkata, faktor vaksinasi juga turut mendorong kejayaan Malaysia membendung wabak berkenaan.

“Vaksinasi ini membantu mengurangkan kesan yang buruk (kepada pesakit COVID-19) dan kita tengok sekarang ini hospital kita tidak lagi penuh dengan kes COVID-19.

“Keadaan ini membolehkan banyak kes lain dapat kita selesaikan sekarang bagi tumpuan bagi asma dan penyakit serius yang lain,” katanya.

Katanya lagi, tahap pematuhan tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia ini juga secara tidak langsung turut membolehkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak perlu lagi menguatkuasakan undang-undang dengan memberikan kompaun seperti sebelum ini.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply