Monday, July 15, 2024
HomeBERITAMAHKAMAHKes AMLA : Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah

Kes AMLA : Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Dato’ Seri Ahmad, 54 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan

Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, Dato’ Seri Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan.

Ia bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang telah diterima daripada Dato’ Seri Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, yang mana cek itu telah ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah membabitkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pertuduhan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dato’ Seri Ahmad juga dituduh telah memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili Ahmad.

Hakim Azman Ahmad membenarkan Dato’ Seri Ahmad diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

21 Februari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments