Kerajaan Negeri Pahang lulus 127.893 hektar Hutan Simpan Kekal Sungai Yu bagi melindungi Harimau Malaya dan haiwan liar lain

0

Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan kawasan seluas kira kira 127.893 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK).

HSK yang diluluskan melibatkan dan bertempat di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis bertujuan melindungi spesis Harimau Malaya dan juga kehidupan haiwan liar lain.

HSK Sungai Yu akan menghubungkan dengan HSK Ulu Jelai dan HSK Tanum, seterusnya membentuk sebagai Koridor Ekologi di bawah Pelan Induk Ekologi (CFS 1) yang terlibat secara langsung dengan rangkaian ‘Central Forest Spine’ (CFS).

Keputusan mesra-alam dan mesra-hidupan liar ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Wisma Sri Pahang pada 27 November lalu.

Kerajaan Negeri juga bersetuju menutup Jalan Lama Sungai Yu sepanjang kira-kira 5.2 kilometer serta merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang.

Berkaitan penutupan Jalan Lama Sungai Yu, ianya merupakan satu keputusan yang wajar kerana jalan ini sudah jarang digunakan oleh penduduk kampung berkenaan berikutan pembinaan ‘Central Spine Road’ telah siap sepenuhnya.

Tambahan Jalan Lama Sungai Yu ini digunakan sebagai jalan alternatif untuk penduduk ke kebun masing-masing.

Keputusan penutupan jalan berkenaan dibuat berdasarkan cadangan oleh Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) – sebuah gabungan badan-badan bukan Kerajaan melibatkan Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia, Wildlife Conservation Society-Malaysia Programme dan World Wildlife Fund (WWF)-Malaysia.

MYCAT memaklumkan terdapat laporan mengatakan pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak menggunakan Jalan Lama Sungai Yu untuk menjalankan aktiviti-aktiviti secara haram.

Maka dengan penutupan Jalan Lama Sungai Yu dapat menghindarkan kemasukan secara mudah oleh pemburu haram, penceroboh hutan dan pembalak haram ke kawasan hutan bersebelahan ‘Eco-Viaduct’ – projek Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM 60 juta.

Menurut MYCAT, terdapat bukti bahawa Harimau Belang – Harimau Malaya, serta hidupan liar lain menggunakan ‘Eco-Viaduct’ ini dalam tempoh antara Februari dan April lepas yang menjadi sasaran pemburu-pemburu haram.

Oleh itu keputusan Kerajaan Negeri amat tepat dan membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan habitat Harimau Belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung terutamanya di Pahang.

Mengenai keputusan merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang, melibatkan Taman Rekreasi Sungai Yu yang sedia ada.

Keputusan ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Yu telah uzur selain tahap kebersihannya kurang memuaskan akibat daripada peningkatan jumlah pelawat pada setiap hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Dengan menjadikan Taman Rekreasi ini sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang akan dapat memberi peluang kepada para penyelidik dalam dan luar negara untuk membuat penyelidikan berkaitan hutan serta flora dan fauna di negeri ini.

Menerusinya juga, kerja-kerja menguruskan koridor ekologi CFS Negeri Pahang dapat dilakukan dengan lebih cekap termasuk aspek kewangan, menerusi fi penyelidikan yang bakal dikenakan.

Leave a Reply