Saturday, June 22, 2024
HomePOLITIKKerajaan baharu ini kerajaan Tan Sri Muhyiddin - Shahrir Samad

Kerajaan baharu ini kerajaan Tan Sri Muhyiddin – Shahrir Samad

Oleh : Shahrir Samad

Petang Selasa (10hb Mac) semalam, saya telah ke Tingkat 28, Menara Dato Onn, PWTC, di mana terletaknya pejabat Pemuda UMNO Malaysia.

Inilah kali pertama saya ke pejabat Pemuda. Tujuan saya ialah untuk bertemu dengan Dato Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Sepatutnya ada beberapa orang lain yang bersama dalam pertemuan petang itu. Tetapi, tinggal saya seorang sahaja kerana yang lain tidak dapat bersama kerana sebab-sebab tertentu.

Apa yang menarik minat saya tentang pejabat Pemuda UMNO bukan sahaja susunan gambar ketua-ketuanya bermula dengan Allahyarham Tun Hussein Onn sehingga kepada yang sekarang, tapi juga pameran kulit buku penyata perwakilan tahunannya, khususnya pada tahun-tahun 60an.

Berbeza dengan rekaan secara berkomputer, kulit-kulit buku penyata dalam tahun 60an direka secara lukisan tangan. Sungguh retro rekaan-rekaan itu.

Saya pun dilantik ke Exco Pemuda UMNO Malaysia oleh Allahyarham Dato Harun Idris, ketua semasa itu, dibawah kuota anggota exco dibawah umur 30 tahun. Ketika itu, saya baru berpindah ke Pejabat Perdana Menteri sebagai setiausaha politik.

Sebelum saya bertukar ke Pejabat Perdana Menteri untuk berkhidmat dengan Allahyarham Tun Abdul Razak, saya bertugas dengan Tun Musa Hitam sebagai setiausaha politik kepada Menteri Perdagangan & Perindustrian, Allahyarham Tun Dr Ismail.

Tun Musa pun baru mengakhiri tempohnya sebagai Naib Ketua Pemuda dalam gandingan dengan Allahyarham Dato Harun. Oleh itu, tentunya hubungan Tun Musa dengan Pergerakan Pemuda dan Dato Harun telah membuka jalan untuk saya mudah diterima sebagai anggota lantikan Exco Pemuda.

Kalau dikirakan, lebih 40 tahun masa sudah berlalu.

Apatah lagi, Dato Dasuki, ayah kepada Dr Asyraf Wajdi, juga seangkatan dengan saya dalam politik parti dan negara.

Dan petang itu, saya mengunjungi anak seorang sahabat saya dan dia menduduki jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Oleh kerana keanggotaan jemaah menteri baru sahaja diumumkan, tentunya kami berdua berbincang mengenai kerajaan baru Tan Sri Muhyiddin.

Dato Dr Asyraf telah menjadi ahli Dewan Negara selama tempoh penuh, iaitu selama dua penggal. Maka beliau tidak boleh lagi dilantik sebagai senator sekiranya hendak dilantik pula sebagai anggota jemaah menteri kerajaan Tan Sri Muhyiddin.

Saya merasakan macam Dr Asyraf merasa lebih lega dengan keadaan itu. Kerajaan baru ini tidak diterajui oleh UMNO, BN dan Muafakat Nasional tetapi oleh PPBM bersama kumpulan Dato’ Seri Azmin Ali dari PKR. Jadi kelegaan Dr Asyraf itu saya fahami.

Keputusan dan tindakan secara “en bloc” oleh BN bersama PAS berjaya dilaksanakan sehingga perkenan YDPA untuk Tan Sri Muhyiddin menjadi PM. Tetapi apabila tiba kepada peringkat perlantikan anggota jemaah menteri, seolah-olah sudah kehilangan pula semangat “en bloc” itu.

Saya menyatakan kepada Dr Asyraf bahawa apa yang menjadi tanda tanya ialah mengapa UMNO Sabah ditinggalkan begitu sahaja. Kalau YB Bung tidak boleh dilantik oleh kerana sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah, YB Datuk Mohamed yang baru menang di PRK Kimanis layak untuk jadi seorang timbalan menteri.

Suatu yang menjolok mata apabila 5 daripada 6 ahli parlimen yang mengistiharkan sokongan terbuka terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir telah dilantik menganggotai kerajaan baru Tan Sri Muhyiddin.

Mereka yang enam kesemuanya itu telah bertindak tanpa merujuk kepada parti. Pengistiharaan sokongan mereka dilakukan di sidang media di Parlimen dan sebelum PRK Tg Piai. Sehinggakan mereka berenam dilarang untuk berkempen.

Bukan sahaja keanggotaan jemaah menteri dari kalangan ahli-ahli parlimen UMNO ini tidak mencerminkan semangat “en bloc” yang terbina di atas kemenangan PRK Tg Piai dan semangat perpaduan Perhimpunan Agong UMNO Malaysia selepas prk itu. Tapi juga portfolio yang dipegang mereka macam tidak dirundingkan dan seolah terserah sahaja kepada budibicara PM yang naik di atas sokongan BN dan PAS.

Apa pun keresahan saya, kerajaan baru ini pun baru sangat lagi.

Lebih baik, tunggu dan lihat dulu.

Kerajaan baru ini kerajaan Tan Sri Muhyiddin.

#MuafakatNasional

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments