Pengamal undang-undang terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla tampil menyatakan pendapat berkaitan permasalahan dalam kegagalan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir urus negara selama kira-kira setahun setengah, selepas kemenangan pada PRU-14.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) secara jujur menyatakan terdapat dua sebab utama atau masalah pokok yang perlu kesemua pihak, termasuk para pemimpin mahupun ahli akar umbi keempat-empat parti gabungan dalam PH iaitu DAP, PKR, AMANAH dan BERSATU serta rakyat mengakui sebagai punca sebenar kepada permasalahan yang dihadapi negara pada masa ini, sebelum mana-mana jawapan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan efektif dan berkesan.
Menyentuh permasalahan asas yang ditekankan, beliau mengkritik kepercayaan salah yang meluas tentang kewujudan dan keperluan transisi kuasa Perdana Menteri (PM) daripada Tun Dr Mahathir kepada Dato’ Seri Anuar Ibrahim sebelum daripada PRU-15 dan kegagalan PH untuk mengenalpasti dan menentukan fokus utama pasca PRU-14, dalam mana-mana polisi khusus selepas kejayaan fokus utama pra PRU-14, yakni “jatuhkan Najib Razak dan tumbangkan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut berkenaan transisi kuasa PM, beliau berkata pada 7 Januari 2018 apabila PH umumkan Tun Dr Mahathir sebagai calon PM ke-7, tidak ada sesiapa yang boleh nafikan fakta bahawa Tun Dr Mahathir pernah menjadi PM ke-4 selama 22 tahun, sehingga beliau sendiri meletakkan jawatan pada masa itu.
“Pada hakikatnya, Tun Dr Mahathir sememangnya tidak pernah ada hasrat untuk kekal sebagai PM ke-7 sehingga ke akhir penggal atau sehingga ke PRU-15, seolah-olah beliau seorang ahli politik yang masih muda yang baru menikmati kejayaan menyandang jawatan sebagai PM, sedangkan beliau lebih berhasrat untuk kembali menikmati sisa-sisa baki tempoh persaraan diusia hampir mencapai satu kurun”.
“Satu-satunya tujuan beliau bersetuju menyandang jawatan sebagai PM ke-7 adalah untuk mengetuai dan mengemudi kerajaan PH disatu tahap dan ketika kerajaan PH sememangnya telah bersedia untuk terus mengurus tadbir negara tanpanya sebagai PM”, ujarnya.
Menurutnya lagi, pada 7 Januari 2018 sememangnya ada kepercayaan dan kefahaman, sekiranya kerajaan PH sudah mampu mara ke hadapan tanpa keberadaan Tun Dr Mahathir sebagai PM, maka secara logik dan munasabah Tun Dr Mahathir akan menyerahkan tugasan sebagai PM kepada seorang pemimpin lain di atas pilihan kesemua parti gabungan PH, yang pada ketika itu ditonjolkan di kalangan para pemimpin parti gabungan PH iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Malangnya apa yang sebenarnya berlaku selepas PRU-14, hampir kesemua para pemimpin PH secara salah dan songsang meletakkan fokus utama di minda dan fikiran mereka bahawa kononnya transisi kuasa PM adalah agenda utama politik tanahair pada ketika ini sedangkan kesemua para pemimpin sepatutnya melaksanakan tugasan berlandaskan jawatan masing-masing, supaya kerajaan PH pada setiap tahap dapat berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat dan seterusnya bersedia untuk menjadi kerajaan tanpa perlu menyusahkan Tun Dr Mahathir lagi”.
“Dengan adanya isu kepercayaan bahawa transisi kuasa PM akan berlaku sebelum PRU-15, semestinya penyakit politik biasa iaitu kemandirian politik (political survival) mula menapak dan berleluasa hampir di kalangan para pemimpin PH”.
“Dari hari ke hari, fikiran dan tindakan mereka tertumpu kepada usaha untuk meletakkan diri mereka rapat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pada masa yang sama juga, pihak yang tidak selesa dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mula mencari alternatif lain dengan membuat pelbagai gerakan untuk menawarkan diri masing-masing (dengan para penyokong sendiri) sebagai orang yang boleh menggalas tanggungjawab sebagai PM ke-8 kelak”, katanya.
Haniff Khatri turut memberitahu, usaha-usaha berkepentingan yang telah membelakangkan rakyat serta negara terus berleluasa dengan sesetengah daripada mereka berasa perlu bermesra dengan para pemimpin pembangkang, sama ada bersama UMNO mahupun PAS untuk menguatkan kedudukan peribadi apabila tiba masa untuk merebut kedudukan sebagai PM ke-8 akan datang.
“Dalam keadaan sebegini, semestinya para pemimpin, lebih-lebih lagi ahli jemaah menteri kerajaan PH tidak dapat membebaskan diri mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dengan jujur dan ikhlas disebabkan kemandirian politik (political survival) masing-masing”.
“Harapan agar Tun Dr Mahathir dapat membantu ahli jemaah menteri dan para pemimpin kerajaan PH untuk mengurus tadbir negara tanpanya kelak, namun gagal tatkala kini akibat penyakit jahat iaitu kemandirian politik (political survival) disebabkan kepercayaan salah dan kefahaman dangkal yang meluas tentang kewujudan dan keperluan transisi kuasa PM daripada Tun Dr Mahathir kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum daripada PRU-15”, tambahnya.
Beliau berkata, walaupun kesemua parti gabungan PH datang dengan ideologi dan falsafah yang mungkin berbeza, namun bagi tujuan kejayaan di PRU-14 pada ketika itu, kesemua mereka telah bersepakat untuk mencapai satu-satunya fokus utama iaitu hanyalah menjatuhkan Najib Razak dan menumbangkan BN.
“Fokus utama itulah yang berjaya menentukan para pemimpin daripada semua parti gabungan PH membuat kenyataan dan naratif yang bersepakat dan tidak bercanggah antara satu sama lain sehingga membawa kejayaan ketika PRU-14 dengan penubuhan kerajaan PH”.
“Malangnya, tidak sempat pucuk pimpinan tertinggi PH di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir berkesempatan untuk merangka polisi dan program-program yang boleh memberi manfaat serta kesejahteraan berterusan kepada rakyat, terdapat sebilangan pemimpin parti individu dalam gabungan PH dengan serta merta mula bersikap tamak dan gopoh dalam merencana falsafah dan ideologi masing-masing, kononnya sebagai keputusan polisi dan program keseluruhan kerajaan sehingga majoriti rakyat mula keliru dan sangsi dengan kejujuran dan halatuju kerajaan PH”, katanya.
Beliau turut yakin rakyat tidak akan melupakan kelantangan beberapa pemimpin dalam menuding jari secara salah dan biadap terhadap pihak polis berkaitan isu Kuil Sri Maha Mariamman pada November 2018 dan begitu juga isu tangkapan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada Oktober 2019.
“Rakyat juga pasti masih ingat akan kegopohan dan kelicikan usaha beberapa pemimpin dengan bantuan serta usaha Peguam Negara dalam percubaan untuk merencanakan penerimaan Perjanjian-perjanjian Antarabangsa ICERD dan juga Statut Rom, walaupun ianya tidak berhasil di penghujunh tahun 2018 sehingga awal tahun 2019.
“Begitu juga dengan ketangkasan Peguam Negara untuk melepaskan dan membebaskan beberapa pemimpin PH daripada pertuduhan-pertuduhan jenayah pra PRU-14 yang menampilkan persepsi seolah-olah prinsip Kedaulatan Undang-undang telah mula dicemari, tanpa mana-mana kenyataan rasmi yang menjelaskan tujuan serta sebab setiap keputusan itu dibuat daripada pihak berkenaan”.
“Tidak ketinggalan juga, kedangkalan dan kecetekan kenyataan segelintir menteri dalam hal-hal remeh dan tidak berkepentingan umum seperti kasut hitam, kereta terbang, larangan merokok di premis makan, isu PTPTN, AES dan proses-proses kelulusan projek yang dilengahkan oleh Kementerian Kewangan turut memberi kesan negatif kepada penzahiran pembangunan serta banyak lagi”, ujarnya.
Malah perbezaan falsafah dan ideologi mula jelas kelihatan apabila tercetusnya isu-isu sensitif melibatkan tulisan jawi, hak LGBT dan sekolah vernakular bermula sejak awal tahun 2019 sehingga sekarang.
“Kesemua perkara yang disenaraikan (pada perenggan di atas) adalah kerana kegagalan para pemimpin kerajaan PH untuk memberi masa dan peluang kepada Tun Dr Mahathir merencana beberapa fokus utama yang seragam di antara kesemua parti gabungan dalam PH dengan membelakangkan perbezaan falsafah serta ideologi masing-masing, selepas kejayaan fokus utama pra PRU-14 iaitu, menjatuhkan Najib Razak seterusnya menumbangkan BN di atas ketamakan dan kegopohan secara peribadi untuk menampilkan diri sebagai pemimpin yang menyokong keperluan penyokong masing-masing secara bersendirian serta bukan atas dasar kesepakatan PH”
“Sedikit sebanyak tidak boleh dinafikan sifat tamak dan gopoh para pemimpin itu adalah juga disumbangkan dengan masalah pokok utama tentang kekhilafan dan kepercayaan salah berhubung kewujudan dan keperluan transisI kuasa PM daripada TUN DR MAHATHIR kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum PRU-15 (seperti diberitahu di perenggan di atas), dalam usaha setiap mereka menempatkan tempat selamat mereka dalam penyakit jahat iaitu kemandirian politik (political survival)”, tambahnya.
Haniff Khatri merumuskan pendiriannya mengatakan, punca utama kecacatan pentadbiran kerajaan PH pada masa sekarang adalah akibat dua masalah pokok utama adalah kepercayaan salah yang meluas tentang kewujudan dan keperluan transisi kuasa PM daripada Tun Dr Mahathir kepada Dato’ Seri Anuar Ibrahim sebelum PRU-15 serta kegagalan PH untuk mengenalpasti dalam menentukan fokus pasca PRU-14, dalam mana-mana polisi khusus selepas kejayaan fokus utama pra PRU-14 iaitu menjatuhkan Najib Razak sekaligus menumbangkan BN.
Leave a Reply