Tuesday, May 21, 2024
HomeBERITAKementerian Kesihatan sita 2,135 produk susu pisang kerana membuat akuan dilarang pada...

Kementerian Kesihatan sita 2,135 produk susu pisang kerana membuat akuan dilarang pada pengiklanan dan label produk

Kementerian Kesihatan memandang serius penjualan dan pengiklanan produk ‘susu pisang’ yang membuat akuan yang dilarang sebelum menyebarkannya di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain.

Penyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membantu membuang toksik dari badan, meningkatkan metabolisme, mengawalselia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label dan iklan produk makanan.

Pada Oktober lalu, kementerian menjalankan satu operasi khas bagi membanteras dan mengambil tindakan ke atas pengeluar dan produk makanan secara serentak di seluruh negara.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan sudah menyita 2,135 produk ‘susu pisang’ bernilai RM60,494.53 menerusi operasi khas pada Oktober lalu selepas didapati membuat akuan dilarang pada pengiklanan dan label produk.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil tindakan itu ke atas pihak yang mengedar atau menjual produk makanan itu kerana tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, Seksyen 17, Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan termasuklah perkara yang dilarang pada label dan pernyataan yang boleh memperdayakan pengguna.

Menurutnya, sejumlah 47 notis dengan keseluruhan nilai RM113,500 turut dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan produk makanan ke atas Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pentadbir laman sosial seperti Facebook dan Instagram bagi menyekat akses kepada laman web dan laman sosial mana-mana produk makanan yang

didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Sehingga kini, sebanyak 103 laman web dan laman sosial sudah disekat,” katanya.

Katanya, Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit dan kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua penjual atau ejen produk makanan untuk menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tidak menyebarkannya di media sosial dan pengguna juga dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan iklan yang sedemikian.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments