Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kelonggaran tertentu yang akan diberikan kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 akan diumumkan tidak lama lagi.
“Pengumumannya tidak lama lagi,” katanya susulan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai pertimbangan memberikan kelonggaran tertentu kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin termasuk kebenaran makan di kedai dan melakukan rentas daerah atau negeri.
Dalam sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara maya bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin hari ini, Dr Adham berkata, seramai 172 petugas kesihatan hamil dijangkiti Covid-19 dan kebanyakannya adalah daripada kategori satu dan dua.
Menurutnya, 51 individu daripadanya kategori 1,117 dalam kategori 2 dan bakinya adalah kategori 5.
Pesakit Covid-19 kategori 1 adalah tidak bergejala; kategori 2 (gejala ringan), kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru), kategori 4 (pesakit yang memerlukan oksigen) dan kategori 5 adalah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Dr Adham berkata, dalam tempoh 4 hingga 10 Julai, sebanyak 870 kluster aktif dikesan di seluruh negara dan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) yang direkodkan adalah 1.13.
“Kluster-kluster yang mencatatkan peningkatan dalam minggu tersebut adalah kluster tempat kerja, pendidikan dan pusat tahanan,” katanya.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply