Saturday, May 25, 2024
HomeBERITAKasih sayang dan airmata ibu terbinanya MSekin Wonderland - Jamal Yunos

Kasih sayang dan airmata ibu terbinanya MSekin Wonderland – Jamal Yunos

Latar belakang hidup seseorang tidak menentukan kemampuan seseorang untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Namun, sebuah kejayaan tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya hasil kerja keras dan didorong kejayaan mencipta nama dalam bidang politik.

Lebih membanggakan apabila seseorang itu berasal daripada keluarga susah dan berjaya keluar daripada kepompong itu sekali gus membahagiakan ibu bapa serta keluarga.

Memulakan perniagaan dalam bidang penjualan makanan, ikon segmen inspirasi TMP kali ini merupakan seorang pengusaha kedai Ikan Bakar Sekinchan, Sungai Besar, Selangor. Beliau juga pernah terlibat dalam perniagaan jual beli kereta.

Masa berlalu pantas, kini beliau melebarkan sayap perniagaan dengan membina sebuah taman tema air pertama di Sekinchan yang dikenali MSekin Wonderland.

MSekin Wonderland terletak berhampiran Pantai Redang Sekinchan yang juga bersebelahan dengan Sekin Hotel & Resort.

Mempunyai sekitar sepuluh kolam berbeza dengan gelongsor, air pancut dan pelbagai aktiviti menyeronokkan sudah pasti menggamit minat para pengunjung meluangkan masa bersama keluarga.

Taman tema hiburan pertama di Sekinchan ini berkonsepkan suasana kampung dan menjadi destinasi eko-pelancongan dan mercu tanda Sekinchan selepas ia siap sepenuhnya awal tahun depan.

Sekinchan yang terletak di bahagian Utara Selangor lazimnya menjadi destinasi warga kota untuk ‘Weekend Getaway’ kerana suasananya yang menenangkan dengan pemandangan cantik serta pelbagai destinasi menarik.

Foto : Pinterest

Sekinchan lebih dikenali sebagai kawasan sawah padi atau pantai dan kampung nelayan. Dengan kepelbagaian tarikan di sini, tidak hairanlah jika ia semakin dibangunkan.

Foto : TripAdvisor

MSekin Wonderland yang terletak di Sekinchan ini juga merupakan satu tarikan baharu yang pasti menarik perhatian semua, terutama golongan berkeluarga.

The Malaya Post bertuah kerana diberi peluang bertemu pengasas taman tema air pertama di Sekinchan, Dato’ Seri Jamal Yunos Zareef berkongsi pengalaman dan bercerita detik-detik awal pembukaan M Sekin Wonderland.

Bagi merungkai rahsia di sebalik kejayaan itu, Ketua Pengarang The Malaya Post, Nik Suryani Megat Deraman mendekati seorang usahawan berjaya yang juga ahli politik yang boleh dikatakan tidak pernah kering dengan kontroversi ini.

Siapa sangka di sebalik kontroversi berkain tuala di depan bangunan kerajaan negeri Selangor sebagai protes krisis air yang berlaku di negeri berkenaan, beliau amat mudah didekati dan tidak lokek berkongsi pengalaman berniaga.

Jom, kita ikuti perjalanan suka duka anak jati Sekinchan ini dalam melebarkan sayap perniagaan yang diusahakan hampir 15 tahun ini.

Perjalanan membina perniagaan menjadi lebih mudah sekiranya melibatkan perkara yang disukai dan mempunyai nilai ‘sentimental value’ yang tersendiri.

Dengan itu, perjalanan membina sebuah empayar perniagaan akan sentiasa bermotivasi dan sudah tentu akan melakukan yang terbaik dalam setiap urusan sekali gus memberi impak positif dalam perniagaan.

Kejayaan tidak hanya lahir daripada kemampuan dan minat semata-mata, sebaliknya harus diiringi dengan usaha berterusan yang tidak pernah luntur.

Menurut pengasasnya, pembinaan MSekin Wonderland dilakukan secara berperingkat bermula 14 tahun lalu di tempat kelahiran beliau.

“Dah lebih kurang empat belas tahun yang lepas. Dah lama bukannya baru sekarang. Saya terlibat dalam politik daripada tahun 2013.

“Jadi maksudnya sebelum terlibat dalam politik lagi memang saya aktif dalam aa bidang perniagaan kecil-kecilan tetapi saya amat berbangga dengan apa yang saya buat walaupun tak ada ‘private jet’, hotel enam bintang dan sebagainya.

“Tetapi setidak-tidaknya apa yang saya buat itu di MSekin Wonderland dan Hotel Sekin Resort adalah di tempat kelahiran saya sendiri iaitu di Jalan Pantai Redang” ujarnya.

Bercerita lanjut, beliau menyatakan lokasi ini asalnya tanah paya bakau yang kemudiannya diteroka oleh penduduk dengan menanam pokok kelapa.

“Jalan Pantai Redang ini jalan masuk pun tak ada. Ada lorong kecil dan jalan tanah merah. Kalau hujan itu memanglah becak.

“Jadi masa saya kecil-kecil dulu masa sekolah rendah aktiviti kami selepas balik sekolah pagi dan petang, saya dan adik lelaki saya pergi memotong kayu bakau bersama emak saya.

“Saya, adik dan emak saya berjalan kaki kira-kira lima kilometer dari Sungai Leman, ikut jalan laut, jalan hutan, potong kayu bakau untuk di bawa pulang ke rumah sebagai kegunaan bahan bakar untuk memasak,” kongsi beliau.

Melalui kerja-kerja memotong kayu bakau, tanah terbabit akan ditandakan dan disitulah ibu beliau mula menanam pokok kelapa.

Begitu juga dengan para penduduk setempat, mereka mula menanam pokok kelapa di bahagian tanah masing-masing.

“Dan sampai satu ketika itu, saya pun dah tak ingat tempat ni dan apabila tamat sekolah menengah, saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan mula berniaga.

“Pada satu hari, pada ketika itu hari raya kedua, bila saya balik ke kampung, lauk-pauk hari pertama tu dah habis. Saya terpaksa pergi ke Bagan, tempat berlabuhnya bot-bot nelayan di di jeti-jeti nelayan sebelah ini dan saya belilah ikan.

“Jadi bila balik kampung barulah saya ingat yang tanah inilah yang saya kecil-kecil dulu dengan emak saya usahakan sebesar satu lot bersama satu ekar,” kongsi beliau.

Menurutnya, tanah berkenaan mula diambil kerajaan negeri seterusnya dianugerahkan kepada orang-orang kampung yang nama mereka sudah didaftarkan.

“Malam ketiga buat pembancian pendaftaran itu nama mak saya tak dimasukkan. Mungkin yalah orang dulu-dulu tanam saja dan tinggalkan.

“Jadi, bila akhirnya bila mak saya tahu yang tanah ini dah mempunyai tuan punya. Jadi dia sedihlah. Saya ingat lagi, sampai dia menangis masa itu. Masa itu saya tingkatan dua.

“Dia sedih. Dia kata dia dah usahakan bertahun-tahun tiba-tiba tanah ini menjadi hak milik orang,” kata beliau.

Bermula dari situ, apabila beliau mengenang kembali kesusahan hidup meneroka tanah bersama ibunya, ahli perniagaan berjiwa besar ini mula membeli tanah-tanah berkenaan secara berperingkat melalui hasil berniaga burger di Kuala Lumpur.

“Ada orang yang dapat anugerah daripada kerajaan negeri kepada pemohon-pemohon itu. Ada lebih kurang 28 ekar. Jadi saya beli satu persatu sampai habis kira-kira 18 tahun dahulu.

“Dan pada waktu itu harga tanah murah sahaja. Dengan tiada kemudahan jalan raya dan tidak berpenghuni, tanah disini dijual dengan harga serendah RM3500 dan mula meningkat naik sehingga RM10,000 satu lot.

“Bila saya dah beli, lebih kurang lima tahun kemudian, saya balik kesini saya melihat kawasan Sekinchan berpotensi untuk mendirikan bilik-bilik penginapan, hotel, resort dan sebagainya.

“Itulah permulaannya. Jadi masa saya usahakan ini pun saya tak bagitahu emak saya kerana saya tahu kalau bagitahu, dia akan kata, apa nak buat tempat hutan tu, tiada siapa nak duduk kat sana,” kongsinya.

Pada awalnya, Jamal Yunos telah membina 50 buah bilik penginapan dan projek pembinaan terbabit mengambil masa kira-kira sembilan bulan berjaya disiapkan.

“Ketika hari pembukaan Sekin Hotel & Resort, barulah saya bawa emak untuk melihat pembangunan yang saya lakukan. Pada mulanya dia tak perasan. Bila saya ceritakan kenapa saya buat Sekin Hotel & Resort disini, hasil daripada usaha emak dan mengenang apa yang diusahakan sehingga tanah terbabit terlepas ke tangan orang lain.

“Tetapi itulah rezeki dan akhirnya kami dapat balik walaupun dengan cara kami membeli balik tanah-tanah itu.

Saya menceritakan apa yang saya buat dan ceritakan pasal tanah daripada awal, emak betul-betul tersentuh dan lama dia menangis,” ujarnya.

Usaha pembangunan tidak hanya terhenti di situ, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata pembinaan MSekin Wonderland mula dibangunkan secara berperingkat kerana kekangan modal yang terhad.

“Akhirnya 100 buah bilik berjaya dibina dan mendapat sambutan yang cukup baik sehinggalah ketika PRU ke-14 pada tahun 2018.

“Ketika itu saya ialah ahli politik dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar. Bila kalah sahaja, masalah pertama yang saya hadapi apabila pihak kerajaan yang baharu iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH) memboikot perniagaan saya.

Namun setelah hampir dua tahun kemudian,  perniagaan beliau kembali mendapat sambutan luar biasa dari pengunjung serata negara.

Membina sebuah empayar perniagaan bukanlah satu perkara mudah terutamanya saat pandemik COVID-19 melanda dunia.

Ramai terjejas teruk dan kebanyakan yang terkesan terpaksa mengambil jalan memulakan perniagaan demi sesuap nasi.

“MSekin Wonderland serata pengunjung datang ke sini. Jadi bilik-bilik memang sentiasa penuh. Dan kami punya restoran pun tak semena-mena sampai tak cukup sehinggalah negara kita diserang wabak COVID-19 dan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sememangnya memberi kesan yang amat besar pada perniagaan saya.

“Semua perniagaan terjejas termasuk saya hampir-menjual perniagaan yang saya bina kerana saya sudah tidak mampu untuk menanggung pelbagai  perbelanjaan antaranya utiliti dan gaji para pekerja.

“Tapi alhamdulillah saya tetapkan hati dan todak melepaskan aset saya ini kepada orang lain.

“Akhirnya perniagaan ini kembali mendapat sambutan dari orang ramai. Sebab itulah saya merancang untuk membuka ‘water theme park’,” kongsinya.

Kejayaan tidak datang bergolek, setelah bergelut bermacam dugaan dan cabaran akhirnya pembinaan taman tema air berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Fasa pertama sudah siap. Jadi, bila buka pada ketika itu secara kebetulan kerajaan pun bertukar. Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertukar tangan kepada kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bermula dari situ perniagaan hotel, restoran dan juga taman tema air mendapat sambutan yang cukup baik. InsyaAllah, fasa kedua dan ketiga akan dibuka dalam waktu beberapa bulan lagi. Bergantung kepada keadaan pekerja.

“Jadi inilah asasnya. Asalnya perniagaan ini dibangunkan bukan kerana saya memikirkan tentang keuntungan samata-mata, tapi pertamanya memikirkan tentang jasa ibu saya meneroka kawasan ini dan yang keduanya saya adalah penduduk lokal, seorang peniaga di Kuala Lumpur walaupun bukan berniaga besar tetapi mesti ada sesuatu yang boleh memberi manfaat pada diri dan kampung saya.

“Ya, pada masa itu paling banyak hotel dekat Sekinchan ni pun ada lima belas bilik, lapan belas bilik. Begitu juga dengan rumah tumpangan. Masa itu tidak ada homestay pun lagi. Jadi saya merupakan individu pertama  membuka tempat penginapan yang mempunyai 50 buah bilik. Selepas tiga bulan kami berjaya membuat penambahan sehingga 80 bilik dan seterusnya sekarang ini  mempunyai 100 bilik, alhamdulillah,” katanya syukur.

Sama ada menjadikan perniagaan sebagai pilihan terakhir menjana pendapatan, sekadar minat atau serius menjadikan perniagaan sebagai kerjaya, penting untuk menetapkan hala tuju sebelum memulakan sesebuah perniagaan.

Begitu juga dengan pemilik MSekin Hotel & Resort ini turut tidak terkecuali dalam menetapkan hala tuju masa depan empayar perniagaannya ini.

“Perancangan kami selain membina raman tema air dan membangunkan hotel dan resort. Kami turut merancang kan menambah 150 buah bilik lagi menjelang tahun 2027.

“Maksudnya kami ada lima tahun lagi untuk mencapai target itu. Kami juga ingin menjadikan hotel dan resort ini mencapai taraf tiga bintang yang dilengkapi 350 buah bilik dalam usaha menjadikan kawasan Sekinchan sebagai destinasi pelancongan setanding seperti Port Dickson, Lumut dan sebagainya.

“Rakyat kita ni yang paling ramai adalah golongan sederhana dan mereka-mereka ini mempunyai keluarga yang besar. Golongan inilah menjadi ‘target group’.

“Sebab itulah saya meletakkan harga yang mampu untuk dikunjungi. Jadi kalau datang pakej lima orang barulah RM100. Taman tema air pula, harga bagi kanak-kanak RM25 dan RM30 bagi peringkat dewasa,” terang beliau mengakhiri perbualan.

Sampai disini sahaja perkongsian kami bersama tokoh perniagaan dan ahli politik terkenal ini.

Para pembaca boleh menonton temubual eksklusif bersama Dato’ Seri Jamal Yunos Zareef di saluran Youtube Channel The Malaya Post.

Semoga perkongsian menarik dalam membina sebuah perniagaan bertaraf nasional ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada pembaca yang sedang berjuang memiliki kehidupan lebih baik dalam suasana dunia yang semakin mencabar kini.

MSekin Wonderland yang merupakan sebahagian daripada Sekin Fisherman Village Hotel & Resort telah membuka operasi fasa pertama.

Orang ramai kini boleh berkunjung ke Sekinchan yang kini mempunyai daya tarikan baharu yang pasti akan menarik perhatian terutama sekali golongan berkeluarga.

Bagi anda yang berkeluarga bolehlah kunjungi MSekin Wonderland sebagai aktiviti liburan di hujung minggu anda.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments