Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAKadar pos baharu bermula 1 Februari

Kadar pos baharu bermula 1 Februari

Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) akan melaksanakan semakan semula kadar pos berikutan keputusan kerajaan untuk meluluskan kadar pos baharu yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Februari 2020, dan hanya membabitkan mel berdaftar, mel komersial dan bungkusan kecil di bawah dua kilogram.

Selain daripada kadar pos domestik, perkhidmatan pos antarabangsa juga mengalami peningkatan sehingga 30 peratus bagi kos penghantaran ke negara destinasi untuk bungkusan kecil di bawah dua kilogram, bermula Januari 2020.

Ini adalah seiring dengan peningkatan kos operasi dan peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU) baru-baru ini yang mengubah landskap industri pos global, sekali gus mendorong syarikat untuk mentransformasi sistem pos bagi mencapai tahap kecekapan yang lebih tinggi.

Pos Malaysia dalam kenyataannya berkata, ia akan terus menawarkan kadar pos yang berpatutan untuk pengguna mel individu dan pelanggan bukan komersial dengan kadar setem semasa yang bernilai 60 sen.

“Ini kerana, 95 peratus daripada jumlah pengguna mel dalam negara adalah pelanggan komersial Pos Malaysia, manakala hanya lima peratus terdiri daripada pengguna mel individu.

“Pelanggan komersial Pos Malaysia yang terdiri daripada sektor perbankan, telekomunikasi dan peruncitan juga menyatakan sokongan terhadap kadar pos yang baharu kerana kadar ini adalah berpatutan dan memberi impak yang minimum terhadap operasi perniagaan mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor, berkata kadar pos baharu ini akan membolehkan syarikat mengendalikan kos dengan lebih berkesan untuk menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada sembilan juta alamat di seluruh negara dalam memenuhi Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO).

“Pada masa yang sama, kami berhasrat untuk menyelaraskan pertumbuhan syarikat seiring dengan perkembangan ekonomi digital melalui penerapan inovasi untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.

“Pelan pertumbuhan yang agresif adalah perlu supaya syarikat kekal relevan dalam industri yang menuju kearah era Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Pos Malaysia akan terus meningkatkan pelaburan di dalam infrastruktur digitalisasi dan e-dagang yang menjadi sebahagian daripada agenda transformasi syarikat demi meningkatkan prestasi sebagai penyedia perkhidmatan pos dengan jangkauan terluas di negara ini.

Kali terakhir kadar pos dikemaskini adalah pada 2010.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments