“Dilarang kebumi mana-mana rakyat Syria sama ada tua atau muda”.
Kain rentang dengan tanda amaran ini digantung di salah sebuah kawasan perkuburan dan ia menjadi perkara yang lumrah di Lubnan.
Bukan setakat didiskriminasi semasa hidup tetapi sampai tanah kuburpun ada beza.
Dalam bahasa mudah sampai ke mati sebahagian besar pendatang yang cuba berlindung di negara itu tidak diterima dan berterusan diberi layanan buruk.
Sebagai negara yang pernah terjebak dengan perang saudara, sepatutnya rakyat Lubnan belajar dari pengalaman lalu.
Sebahagian mereka satu ketika dahulu pernah lalui pengalaman sama selama lebih 15 tahun (1975-1990) dan ada yang menjadi mencari perlindungan di Syria.
Menurut Al Jazeera, sengketa sesama sendiri membunuh lebih 200,000 nyawa dan 17,000 lagi masih hilang. Lebih sejuta rakyat Lubnan terpaksa menjadi pelarian yang kini bertebaran di pelbagai negara dan benua.
Konflik hampir memusnahkan negara itu, yang satu ketika dahulu menjadi lambang kemewahan duniawi dunia Arab. Beirut di zaman kemegahannya pernah menjadi pusat kewangan pernah digelar “Paris of The Middle East”, sehingga satu penyelesaian yang diusahakan masyarakat antarabangsa dicapai.
Sehingga kini, perjanjian kongsi kuasa masih rapuh di Lubnan dan sentiasa ada sahaja insiden yang mencetuskan ketegangan politik, agama dan mazhab.
Malangnya bagi sesetengah penduduknya, mereka begitu angkuh dan pentingkan diri sendiri. Apa yang pernah dilakui tidak diambil sebagai iktibar.
Tiada siapa yang ingin bergelar “pelarian”, tetapi keadaan telah memaksa mereka mencari kawasan baru yang dirasakan selamat.
Namun malang sungguh nasib pelarian Syria. Jika berada di negara sendiri mereka berdepan dengan sengsara dan maut, berhijrah ke negara jiran belum tentu bernasib baik. Ada masa dikeji, dicaci dan pada ketika tertentu dilayan tanpa maruah sebagai manusia sehingga tahap dibunuh dengan sesuka hati oleh bangsa sendiri.
Semua tahu pelarian Syria dan penduduk Lubnan serumpun, mereka Arab berkongsi hampir semua perkara yang sama. Bahasa dan budaya tidak banyak beza. Mereka juga satu akidah namun semangat dan roh yang diterapkan oleh ajaran Islam sebagaimana penerimaan kaum Ansar (penduduk Madinah) terhadap saudara seagama, kaum Muhajirin (penduduk Makkah) yang berpindah lebih 1,441 tahun lalu tidak dihayati.
Sampaikan tanah kuburpun mereka enggan kongsi. Isu mengenainya tular selepas media sosial dan portal berita melaporkan jenazah seorang kanak-kanak terpaksa digali semula di Asoun, utara Lubnan pada 20 September lalu kerana dia pelarian Syria.
Portal albawaba melaporkan, arahan penggalian semula itu dikeluarkan atas arahan Datuk Bandar Assoun, Roula al Baya yang menegaskan tanah perkuburan berkenaan hanya untuk rakyat Lubnan.
Susulan apa yang berlaku, penduduk tempatan di kawasan berhampiran bertindak mewakafkan tanahnya untuk dijadikan tapak perkuburan bagi pelarian Syria di situ. Antara mereka Khaled Abdel Qader, seorang professor Undang-undang Syriah.
Laporan Razali Awang Media Syria Care untuk The Malaya Post
Leave a Reply