Monday, May 20, 2024
HomeBERITAIsu LTTE : Exco Melaka dan Adun DAP ditahan di bawah SOSMA

Isu LTTE : Exco Melaka dan Adun DAP ditahan di bawah SOSMA

KUALA LUMPUR – Tujuh individu termasuk Exco Melaka dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Seremban ditahan dalam operasi polis Bukit Aman hari ini, kerana disyaki terbabit dalam mempromosi, menyokong, menghasut, memiliki bahan berkaitan dan menyalurkan dana membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ke semua mereka ditahan dalam operasi di sekitar Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur antara jam 9.00 pagi dan jam 2.00 petang tadi.

Foto Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman

Beliau berkata Exco Melaka, G Saminathan dan ADUN Seremban Negeri Sembilan, Jaya P Gunasekaran ditahan selepas disyaki menghadiri program memperingati Hari Perwira LTTE pada November tahun lalu di Melaka.

Tangkapan di Sungai Siput, Perak pula membabitkan seorang pemandu teksi berusia 37 tahun yang dipercayai pernah menyertai perarakan dan perjumpaan sulit LTTE di negeri berkenaan, katanya.

“Suspek dipercayai terlibat dalam merekrut dan menyebarkan propoganda kumpulan pengganas itu di Malaysia. Suspek juga turut menyimpan serta memiliki bahan berkaitan kumpulan itu selain terlibat dalam insiden sama mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka tiga tahun lepas,” katanya.

Katanya, dua lagi yang ditahan ialah seorang juruteknik berusia 27 tahun di Kulim, Kedah serta seorang peniaga kedai makan di Sungai Buloh, Selangor.

“Kedua-dua individu itu ditangkap kerana dipercayai menyokong, memiliki bahan berkaitan LTTE serta mempromosikan kumpulan pengganas itu menerusi media sosial,” katanya

Menurutnya, kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula hari ini.

Beliau berkata sejak 2009, seramai 25 individu ditahan kerana terlibat dengan LTTE dan polis percaya kumpulan itu mempunyai rangkaian di luar negara.

Dalam pada itu, Datuk Ayob menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan penahanan individu disyaki terlibat LTTE sebagai isu perkauman serta mengeksploitasi perkara itu.

“Kami tidak kira siapa sama ada daripada parti, agama dan bangsa mana-mana, jika terbabit dengan aktiviti keganasan, kami akan tangkap,” katanya sambil menegaskan bahawa sebelum ini beberapa siri tangkapan juga dibuat terhadap anggota militan Daesh, Jemaah Islamiah dan Sikhs for Justice.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

LTTE terlibat dalam insiden pertumpahan darah selama lebih tiga dekad di Sri Lanka. LTTE yang diketuai V. Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala dikatakan menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments