Ismail Sabri hantar surat bahasa Melayu ucap tahniah kepada Rishi Sunak

0

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan tahniah kepada Rishi Sunak yang dilantik sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) baharu, hari ini.

Ucapan itu disampaikan oleh beliau kepada pemimpin Parti Konservatif itu, menerusi satu surat yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Dalam ucapan tahniah itu, Ismail Sabri antara lain menyatakan penghargaan mengenai hubungan antara kedua-dua negara, yang terjalin selama 65 tahun dan berharap dapat menjalin kerjasama rapat dengan Sunak untuk terus meneroka potensi hubungan Malaysia-UK.

“Malaysia dan UK menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama (Sunak) untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara.

“Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh,” katanya dalam surat itu yang dimuat naik di Twitter rasminya, hari ini.

Terdahulu, Sunak dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Britain, selepas penyandangnya, Liz Truss, mempersembahkan peletakan jawatannya kepada Raja Charles III.

Truss meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan program ekonominya mencetuskan kejutan pasaran dan menyebabkan Parti Konservatif berpecah, hanya 45 hari selepas memegang jawatan itu.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply