‘Insaflah bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah’ – Sultan Johor

0

Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini,  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT.

Titah baginda, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan dan bukannya mengutamakan kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.

“Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki.

“Oleh itu, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air,” titah baginda menerusi Facebook rasmi bertitah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim Iskandar turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu gugat kerajaan dan berebut kuasa.

Sultan Ibrahim bertitah baginda kecewa tindakan itu dilakukan di saat rakyat berhadapan dengan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Sultan Ibrahim berkata, sekarang adalah masa untuk berebut membantu rakyat, bukan masa untuk berebut kuasa dan kedudukan. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply