Monday, July 22, 2024
HomeBERITAPerjalanan udara Malaysia-Singapura tanpa kuarantin, 29 November ini

Perjalanan udara Malaysia-Singapura tanpa kuarantin, 29 November ini

Ini pula berita baik untuk individu yang sering berulang-alik antara Malaysia dan Singapura menerusi perjalanan udara.

Jika anda sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19, maka anda tidak perlu lagi menjalani kuarantin bermula 29 November ini.

Kebenaran menerusi skim Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, dalam satu kenyataan bersama.

Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan berkaitan VTL melalui panggilan telefon hari ini.

VTL yang membabitkan laluan udara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu tertakluk kepada keputusan ujian COVID-19 sebagai ganti menjalani kuarantin atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Kenyataan bersama itu menyebut, Perdana Menteri Malaysia dan Singapura mengakui COVID-19 mengganggu hubungan rakyat kedua-dua negara dan memisahkan banyak keluarga selama beberapa bulan.

Katanya, oleh kerana Malaysia dan Singapura sudah mencapai kemajuan ketara dalam pemberian pelalian kepada penduduk masing-masing dan pengurusan wabak COVID-19, Datuk Seri Ismail Sabri dan Hsien Loong bersetuju menyambung perjalanan rentas sempadan secara progresif antara kedua-dua negara dengan cara yang selamat.

“Kedua-dua Perdana Menteri berharap dapat memulihkan perjalanan merentasi sempadan darat antara dua negara berjiran dalam masa terdekat.

“Mereka gembira melihat kemajuan yang baik dalam perbincangan terperinci berterusan mengenai skim perjalanan sama untuk membuka semula perjalanan merentasi Tambak Johor dan Link Kedua dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di Johor dan Singapura,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri dalam kenyataan sama berkata, VTL adalah satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama Malaysia-Singapura yang sudah lama terjalin.

“VTL akan membenarkan perjalanan kedua-dua negara secara beransur-ansur membuka semula sempadan secara bertanggungjawab dengan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi kita sambil memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat daripada COVID- 19.

“Saya berharap skim perjalanan ini dilaksanakan secara efektif sebagai tambahan kepada usaha yang dibangunkan sebelum ini untuk memudahkan pergerakan orang dan barangan antara Malaysia dan Singapura”, katanya.

Mengulas isu sama, Hsien Loong gembira kerana Malaysia dan Singapura akhirnya dapat membenarkan semula perjalanan rentas sempadan melalui VTL.

“Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam dan mesra dalam pelbagai aspek. Saya amat gembira kerana kedua-dua negara dapat memulakan semula perjalanan rentas sempadan melalui VTL.

“Ini akan membantu memulihkan ekonomi kita, hubungan rakyat dengan rakyat kita dan mengukuhkan hubungan dua hala,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments