KUALA LUMPUR, 27 FEB – Kerjasama erat antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan industri terus diperkukuhkan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Huawei ICT Competition Asia Pasifik ke-9, yang melabuhkan tirainya hari ini dalam satu majlis penutup yang penuh gilang-gemilang.
Majlis penutup pertandingan berprestij ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Kadir, yang turut menyampaikan Anugerah Hadiah Utama kepada para pemenang dalam setiap kategori yang dipertandingkan. 
Pertandingan yang dianjurkan oleh syarikat telekomunikasi global, Huawei, sejak tahun 2015 ini menjadi platform penting dalam menghubungkan sektor akademik dengan industri teknologi maklumat (ICT) dan kecerdasan buatan (AI).
Tahun ini, pertandingan berjaya menarik penyertaan pelajar, guru, pensyarah, dan pemain industri dari pelbagai negara di rantau Asia Pasifik.
Menariknya, pertandingan itu turut mendapat sokongan penuh dari ASEAN, dengan kehadiran Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr. Kao Kim Hourn, dan Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation, Dr. Piti Srisangnam.
Ini membuktikan bahawa kerjasama serantau semakin utuh dalam membentuk ekosistem teknologi yang lebih kompetitif dan inovatif.
Dalam ucapannya, Dr. Zambry mengucapkan tahniah kepada Huawei atas kejayaan menganjurkan pertandingan ini, yang bukan sekadar mengasah kemahiran peserta tetapi juga menjadi jambatan penting antara dunia akademik dan industri.
“Pertandingan seperti ini memberikan ruang terbaik untuk anak muda mengembangkan bakat mereka dalam bidang teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI). Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan institusi pendidikan, tetapi juga kepada industri yang memerlukan tenaga kerja mahir dan inovatif,” katanya.
Dr. Zambry turut menegaskan bahawa pertandingan seperti Huawei ICT Competition memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Kerjasama erat antara IPT dan industri seperti ini harus terus diperluaskan agar kita dapat melahirkan lebih ramai bakat muda yang mampu bersaing di pentas global. Kejayaan mereka hari ini adalah permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam industri teknologi,” tambahnya.
Dengan kejayaan pertandingan ini, Malaysia dan negara-negara Asia Pasifik terus menunjukkan komitmen mereka dalam membangunkan bakat digital yang akan memacu inovasi, meningkatkan daya saing ekonomi, dan memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai hab teknologi global.

Majlis penutup ini bukan sahaja menjadi penanda aras kepada kejayaan Huawei ICT Competition, tetapi juga simbol kepada masa depan cerah bagi bakat muda dalam bidang teknologi maklumat dan kecerdasan buatan.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply