Friday, July 26, 2024
HomeLAPORAN KHASHilang keyakinan pada pemimpin politik, Seri Paduka Baginda kini tempat rakyat bertaut...

Hilang keyakinan pada pemimpin politik, Seri Paduka Baginda kini tempat rakyat bertaut kasih

Rakyat Malaysia bertuah kerana mempunyai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang begitu mesra dan tidak kekok apabila turun padang bertemu rakyat jelata.

Keperibadian tinggi Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri amat disanjungi rakyat ditambah dengan gelagat-gelagat yang bersahaja, spontan dan mencuit hati senantiasa mencuri perhatian lensa kamera jurugambar media serta rakyat.

Mendapat jolokan pasangan sweet dan romantik oleh netizen, Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri sentiasa tampil ceria dan tidak lekang dengan senyuman.

Bercerita lanjut mengenai pasangan DiRaja kesayangan ramai, baru-baru ini Al Sultan Abdullah menarik perhatian ramai apabila baginda beberapa kali membantu mangsa kemalangan jalan raya.

Baginda sendiri bertanya khabar kepada mangsa kemalangan berkenaan dan keprihatinan baginda dipuji ramai.

Keprihatinan Al Sultan Abdullah jelas kelihatan apabila baginda dan permaisuri, Tunku Azizah akan mencemar duli sekiranya dimaklumkan rakyat ditimpa masalah dan bencana.

Baginda dan permaisuri bergegas bertemu rakyat untuk sama-sama melihat kesusahan dan musibah yang berlaku serta baginda akan menghulurkan sumbangan peribadi dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan memanjangkan kepada pihak yang berwajib.

Kebijaksanaan, ketertiban dan keikhlasan baginda Al Sultan Abdullah menyantuni rakyat terserlah dan rata-rata menyifatkan keperibadian murni dan sifat sederhana serta merendah diri ini diwarisi daripada ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

Bercerita mengenai Permaisuri Agong, Tunku Azizah yang memiliki raut wajah lembut pan asia yang sentiasa tersenyum menyerlahkan lagi sifat keibuan baginda.

Tunku Azizah amat meminati bidang masakan, fabrik tradisi, fesyen dan baru-baru ini terbongkar hobi baginda iaitu memancing.

Kesungguhan baginda dalam memperjuangkan dan mempertahankan fabrik tradisi, Tenun Pahang amat dihargai.

Al Sultan Abdullah merupakan  Penaung Yayasan Tenun DiRaja Pahang dan Tunku Azizah pula Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang DiRaja Negeri Pahang, menggembleng tenaga dan menzahirkan idea bernas dalam memartabatkan warisan seni yang berusia lebih 200 tahun ini daripada pupus ditelan zaman.

Dalam bidang masakan pula, baginda memang terkenal dengan kepakaran memasak sehingga berjaya menerbitkan buku resipi air tangan baginda iaitu ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang dan ‘Masakan Tradisional Pahang’.

Kelibat Tunku Azizah sering kelihatan apabila baginda sering membantu mangsa banjir dengan memasak secara rewang atau bergotong-royong.

Baginda akan menyediakan sajian untuk mangsa-mangsa banjir dengan resipi baginda sendiri. Kecekapan dan keenakan masakan baginda dapat dilihat dan dirasai secara dekat oleh rakyat.

Berbicara mengenai fesyen yang dipakai Tunku Azizah, baginda sangat suka memakai baju kurung.

Penampilannya yang bertutup litup dan sering berbaju kurung terlihat unik dan berbeza.

Sentiasa tampil ringkas dan anggun, penampilan baginda mendapat perhatian dan kini menjadi ikutan ramai.

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar perempuan SMK Seksyen 24(2) telah menggayakan fesyen baginda sebagai inspirasi sesi bergambar untuk kelas mereka.

Tweet yang ditujukan kepada tweeter baginda yang dikenali cheminahsayang dibalas mesra Tunku Azizah dan baginda memuji ‘cantek’ ke atas gambar berkenaan.

Busana unik yang dipakai Tunku Azizah direka khas oleh pereka fesyen Rizalman yang merupakan sahabat baik baginda.

Keistimewaan Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang dikenali sebagai raja yang berjiwa rakyat, amat dikasihi semua tanpa mengira kaum dan bangsa.

Di saat rakyat sedang bertarung menghadapi kos sara hidup yang semakin tinggi, seolah semakin putus harapan dengan situasi politik negara dan jurang perkauman semakin menjauh, baginda dan permaisuri merupakan sinar dan pemangkin untuk rakyat bergantung harap seterusnya menjadi teladan yang boleh dicontohi oleh semua kaum.

Untuk rekod, Al Sultan Abdullah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 seterusnya dengan pemasyhuran Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 pada 31 Januari 2019.

Tunku Azizah pula telah dimasyhurkan sebagai Tunku Ampuan Pahang dan Raja Permaisuri Agong.

Jika ingin berbicara tentang pasangan dua sejoli DiRaja ini, terlalu banyak yang boleh diceritakan.Ini hanya serba ringkas bingkisan dari team The Malaya Post untuk tatapan pembaca.

Daulat Tuanku !!

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments