Saturday, May 25, 2024
HomeBERITAHarga kawalan baharu kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah bakal diumum dalam...

Harga kawalan baharu kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah bakal diumum dalam waktu terdekat

Harga kawalan baharu kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah sedang dipertimbangkan dan bakal diumumkan dalam waktu terdekat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata pada masa ini kementerian giat mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan supaya kit ujian kendiri itu dapat segera dijual dengan harga yang lebih rendah.

Beliau berkata bagaimanapun dalam masa sama kerajaan turut perlu mengambil kira kepentingan dan kelangsungan perniagaan pemain industri yang terbabit dengan kit ujian kendiri tersebut.

Katanya, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat di bawah fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta kelonggaran lain yang bakal diumumkan kerajaan menjadikan kit berkenaan sebagai alatan perubatan penting untuk orang ramai membuat pemeriksaan status kesihatan.

“Ujian pengesanan kendiri COVID-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Disebabkan itu kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan setiap lapisan pengguna mampu mendapatkan kit ini pada harga lebih baik dan dalam masa sama tidak mengabaikan kepentingan dan kelangsungan perniagaan pemain industri terbabit.

“Justeru, kementerian giat mengadakan libat urus dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam penetapan harga baharu kit ujian kendiri ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada The Malaya Post.

Datuk Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, sejak penguatkuasaan harga maksimum kit ujian bermula 5 September lalu, sehingga kini penguat kuasa KPDNHEP sudah menjalankan pemeriksaan di 3,106 premis di seluruh negara.

“Daripada pemeriksaan itu kita dapati terdapat 348 premis menjual alatan itu di bawah paras harga kawalan, manakala 2,554 premis pula mematuhi harga kawalan ditetapkan. Kita gembira dengan kerjasama baik daripada pemain industri ini.

“Kementerian turut memberi jaminan bekalan kit ujian di pasaran mencukupi dengan lebih enam juta bekalan alatan itu berada di pasaran,” katanya.

Sementara itu, kementerian giat mendapatkan maklumat mengenai premis seperti pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai serbaneka yang akan dibenarkan menjual kit ujian itu dijangka bermula pertengahan bulan depan.

“Kita perlu pastikan mereka ini mempunyai maklumat mencukupi mengenai syarat jualan termasuk mematuhi aspek pelabelan produk dan kaedah pengendaliannya bagi memudahkan orang ramai.

“Kita mahu pastikan pengguna boleh mendapatkan kit ujian kendiri lebih mudah di premis yang menjadi tumpuan, namun premis ini perlu menepati syarat untuk menjual alatan ini,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments