KUALA LUMPUR, 13 Feb – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mengesahkan pemecatan keahlian YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut notis rasmi bertarikh 13 Februari 2026, Lembaga Disiplin BERSATU yang bersidang pada 12 Februari 2026 telah memutuskan pemecatan berkenaan di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Parti, selepas mendapati beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.

Notis tersebut menyatakan bahawa pemecatan itu melibatkan pengguguran hak-hak keahlian parti dan berkuat kuasa mulai tarikh surat dikeluarkan.
Bagaimanapun, Hamzah Zainudin masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan BERSATU dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis berkenaan, untuk pertimbangan lanjut.
Dalam kenyataan media berasingan yang dikeluarkan pada hari sama, Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi telah dimaklumkan mengenai keputusan Lembaga Disiplin tersebut.

Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa pemecatan keahlian Hamzah Zainudin berkuat kuasa mulai 13 Februari 2026, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.— THE MALAYA POST

Leave a Reply