Friday, October 4, 2024
HomeBERITAGuru kelas akan hubungi ibu bapa murid Tahun Satu sebelum sesi persekolahan...

Guru kelas akan hubungi ibu bapa murid Tahun Satu sebelum sesi persekolahan bermula

Pelajar atau murid sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan yang telah menikmati cuti panjang akhir tahun yang lalu akan bermula kembali sesi persekolahan mereka pada 20 Januari depan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin dalam satu sidang media hari ini berkata guru kelas akan menghubungi ibu bapa murid tahun satu sesi 2021 sebelum sesi persekolahan bermula 20 Januari ini.

Menurutnya, walaupun murid-murid dan guru-guru tidak bersemuka di sekolah, guru kelas bertanggungjawab menyelia dan berhubung dengan ibu bapa bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Kita mempunyai senarai semua murid tahun satu yang akan masuk ke sekolah dan akan ditempatkan di mana.

“Guru terbabit akan berhubung dengan ibu bapa untuk memaklumkan mengenai kelas anak masing-masing sekaligus membolehkan PdPR dilakukan,” katanya.

Sementara itu mengenai isu buku teks, beliau berkata, proses pemulangan dan pengambilannya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah dalam masa terdekat.

“Kita sedar penggunaan buku teks adalah penting untuk pembelajaran di rumah jadi pihak sekolah akan maklumkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kebanyakan sekolah dan para guru sudah membuat ‘WhatsApp group’ melibatkan ibu bapa bagi tujuan memudahkan urusan pembelajaran dan penyaluran maklumat.

Terdahulu, Perdana Menteri telah mengumumkan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan enam negeri antaranya Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah bermula 13 hingga 26 Januari depan.

Manakala PKPB dikuatkuasakan ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan pembukaan sekolah pada 20 Januari 2021 di dalam kawasan PKP hanya kepada pelajar yang terlibat dengan SPM, SVM, SKM, STAM, STPM dan DVM bagi tahun 2020 serta 2021.

Pelajar Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 hingga 4 akan melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran dari rumah (PdPr) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021.

Manakala pengoperasian Institusi Pendidikan berdaftar KPM bagi sekolah yang berada di dalam kawasan PKPB dan PKPP adalah berdasarkan takwim masing-masing.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments