Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAGenerasi Beta: Era baharu teknologi, kehidupan digital

Generasi Beta: Era baharu teknologi, kehidupan digital

PETALING JAYA, 1 Jan – Hari ini menandakan permulaan Generasi Beta, kumpulan anak-anak yang lahir dari tahun 2025 hingga 2039. Generasi ini menggantikan Generasi Alpha, yang berakhir pada Disember 2024, sekaligus membuka babak baharu dalam sejarah manusia moden.

Menurut laporan United Nations International School of Hanoi (2024), Generasi Beta dijangka menjadi generasi pertama yang sepenuhnya hidup pada abad ke-21, dikelilingi oleh teknologi canggih dan nilai keberagaman yang mendalam.

Yang nyata, sebagai generasi ketujuh sejak kelahiran Generasi Greatest pada tahun 1901, Generasi Beta bakal membawa pendekatan baharu terhadap kehidupan, pekerjaan, dan interaksi sosial.

Kajian oleh McCrindle Research (2024) menunjukkan generasi ini akan hidup dalam dunia yang sangat bergantung pada kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), dan Internet of Things (IoT), menjadikan teknologi sebagai asas kehidupan harian mereka.

Memahami Generasi Beta

Menurut McCrindle, setiap generasi dipengaruhi oleh peristiwa besar, perubahan teknologi, dan dinamika sosial tertentu. Generasi Beta pula dianggap unik kerana mereka tidak pernah mengenal dunia tanpa teknologi maju.

Menurut penolong profesor pemasaran di North Carolina State University, Heather Dretsch, perniagaan perlu segera menyesuaikan strategi mereka dengan perubahan tingkah laku pengguna generasi ini.

“Bisnes perlu pantas menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna ini untuk kekal relevan,” katanya kepada Good Morning America baru-baru ini.

Kajian mendalam oleh United Nations International School of Hanoi pada 2024 turut menggariskan bahawa Generasi Beta akan berinteraksi, bekerja, dan belajar dengan cara yang sangat berbeza daripada generasi sebelumnya.

Penggunaan teknologi seperti tutor digital dan pembelajaran interaktif akan menjadi norma dalam pendidikan mereka.

Melihat Sejarah Generasi

Pembahagian generasi bermula dengan Generasi Greatest (1901-1927), yang menurut Tom Brokaw dalam bukunya The Greatest Generation (1998), dikenali dengan ketahanan mereka menghadapi Great Depression dan Perang Dunia Kedua.

Generasi Silent (1928-1945) pula lahir pada era kestabilan konservatif, sebelum digantikan oleh Baby Boomers (1946-1964), yang menikmati pertumbuhan populasi dan ekonomi pasca perang.

Generasi X (1965-1980) menyaksikan permulaan globalisasi dan komputer peribadi, diikuti oleh Milenial (1981-1996), generasi optimis dengan kepekaan sosial yang tinggi. Generasi Z (1997-2009) lahir di era digital.

Generasi Alpha (2010-2024) menjadi kumpulan pertama yang sepenuhnya hidup dalam dunia digital (McCrindle, 2024).

Kini, Generasi Beta hadir membawa cabaran dan peluang baharu dalam era teknologi yang semakin maju.

Ciri-Ciri Utama Generasi Beta

1. Teknologi Sebagai Asas Kehidupan

Menurut McCrindle Research (2024), kehidupan Generasi Beta akan didorong oleh teknologi seperti AI dan VR. Automasi dan teknologi pintar akan menjadi bahagian penting dalam aktiviti seharian mereka, dari pendidikan hingga pekerjaan.

2. Pendidikan Pintar Berasaskan AI

Pendidikan bagi generasi ini akan dipersonalisasi menggunakan teknologi seperti tutor digital dan simulasi interaktif. Pendekatan ini menggantikan buku teks tradisional yang semakin usang memetik kajian United Nations International School of Hanoi, 2024.

3. Kesedaran Sosial yang Tinggi

Generasi Beta dijangka lebih prihatin terhadap isu global seperti kelestarian, privasi data, dan keadilan sosial. “Mereka akan memilih organisasi dan majikan yang beroperasi secara beretika,” tambah Dretsch (2024).

4. Kreativiti Diperkasa Teknologi

Dengan alat seperti AI, Generasi Beta dijangka menghasilkan inovasi luar biasa dan menyelesaikan masalah kompleks dengan cara yang belum pernah dilihat sebelumnya memetik kajian United Nations International School of Hanoi, 2024.

5. Cabaran Digital dan Media Sosial

Walaupun mahir dengan teknologi, mereka mungkin menghadapi tekanan akibat kebanjiran maklumat dan pengaruh media sosial yang intensif (McCrindle, 2024).

6. Kerjaya Fleksibel dan Kehidupan Kerja yang Kabur

Automasi dijangka mengubah kerjaya tradisional menjadi model pekerjaan fleksibel berasaskan projek, yang seterusnya mengaburkan batas antara kehidupan peribadi dan pekerjaan (United Nations International School of Hanoi, 2024).

Cabaran dan Harapan

Generasi Beta bakal menjadi penggerak utama perubahan dalam ekonomi, teknologi, dan budaya. Namun, mereka juga dijangka menghadapi cabaran seperti tekanan digital dan ketidakseimbangan antara kehidupan dan kerja. Menurut Dretsch (2024), masyarakat dan perniagaan perlu bersedia untuk menyediakan sokongan dan peluang yang selaras dengan keperluan generasi ini.

Laporan McCrindle Research (2024) menegaskan bahawa Generasi Beta tidak hanya membawa perubahan, tetapi juga harapan untuk dunia yang lebih inovatif dan inklusif. Selamat datang, Generasi Beta! Dunia menantikan kebijaksanaan, kreativiti, dan semangat anda untuk mencorak masa depan yang lebih gemilang.–THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman merupakan Ketua Pengarang The Malaya Post dan kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments