PUTRAJAYA, 16 Disember – Festival Idea Putrajaya 2024 (Putrajaya Festival of Ideas, FOI), yang berlangsung dari 27 hingga 29 November lalu, mencatatkan kejayaan besar dengan kehadiran lebih 100 ribu pengunjung. Acara ini kini diiktiraf sebagai salah satu festival intelektual dan kreatif terbesar di Malaysia. Majlis Apresiasi khas turut diadakan untuk menghargai usaha pihak penganjur dan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus lumus menjayakan edisi sulung festival ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, menyifatkan festival ini sebagai platform yang bukan sahaja menggalakkan diskusi intelektual tetapi juga membuka peluang kerjaya dengan 10 ribu jawatan ditawarkan sepanjang acara berlangsung. “Pada awalnya, ramai meragui konsep FOI. Namun, dengan perancangan rapi dan usaha berterusan, FOI berjaya menjadi lebih daripada sekadar program dan diskusi – ia kini sebuah ekosistem idea dan tindakan,” katanya.

Beliau turut memuji sokongan padu rakyat terhadap inisiatif berteraskan inovasi ini. Malah, kejayaan FOI turut mendapat pengiktirafan YAB Perdana Menteri, yang mencadangkan penglibatan lebih banyak kementerian dan agensi pada edisi festival tahun hadapan.
“Insya-Allah, FOI 2025 akan dianjurkan dalam skala lebih besar dengan penambahbaikan untuk memastikan ia terus relevan dan bermanfaat kepada semua,” ujar Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry. Beliau juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas sebarang kekurangan pada penganjuran edisi kali ini, sambil berjanji untuk memperbaikinya pada masa hadapan.

Festival ini dianggap sebagai platform penting untuk melahirkan rakyat Malaysia yang aktif menyumbang kepada pembangunan negara menerusi idea, inovasi, dan kreativiti. “Misi kita adalah membangunkan negara dengan melibatkan rakyat dalam setiap aspek pembangunan – intelek, inovasi, dan kreativiti,” tambah beliau.

FOI 2024 bukan sekadar medan pertemuan minda, malah mencerminkan kemampuan Malaysia sebagai negara yang mengutamakan nilai progresif, kebersamaan, dan inspirasi. Dengan kejayaan ini, semua pihak kini menantikan FOI 2025, yang dijangka lebih meriah dan memberi impak lebih besar kepada negara.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply