Fenomena ‘spirit doll’ melanda selebriti Indonesia

0

Patung berupa bayi atau budak-budak merupakan antara permainan yang menjadi pilihan utama kanak-kanak, perempuan terutamanya.

Mereka akan ‘berlakon’ sebagai ibu, bapa, penjaga, doktor mahupun rakan kepada patung tersebut dan melakukan aktiviti harian bersama.

Namun, bagaimana pula apabila golongan dewasa turut mempunyai hobi yang sama?

Terkini, viral di media sosial apabila beberapa selebriti dari Indonesia dikatakan mula membela anak patung dan tindakan itu menjadikan fenomena ‘spirit doll’ menjadi trend di kalangan peminat.

Salah seorang daripadanya ialah pereka fesyen terkenal, Ivan Gunawan yang tanpa berselindung mengakui kini ‘membela’ dua anak patung atau ‘reborn doll’ sebagai anaknya sendiri, malah turut diberi nama iaitu Marvellous dan Miracle.

Begitu juga yang berlaku kepada seorang wanita bernama Queen Athena kelahiran Malang, Jawa Timur yang kini menetap di Jimbaran, Bali.

Memulakan cerita, dia mengakui obses mengumpul ‘spirit doll’ sejak dua tahun lalu dan sehingga kini telah mempunyai lebih daripada 70 simpanan anak patung.

“Sebenarnya mengumpul dan menyimpan ‘spirit doll’ bukanlah satu perkara baharu. Tetapi kebelakangan ini hobi tersebut menjadi kecoh disebabkan ia mula popular dalam kalangan selebriti,” demikian ulas Queen ketika ditemuramah CNN Indonesia.

Menurutnya, ‘membela’ patung adalah satu cabaran besar kerana sentiasa dipandang serong dan dianggap sebagai wanita sihir yang mempunyai niat jahat.

“Mulut orang memang tidak boleh ditutup dan mereka boleh berkata apa sahaja. Apa yang paling penting saya tidak pernah sesekali menyembah atau menganggap patung-patung ini sebagai tuhan. Apatah lagi mempunyai niat jahat untuk berbuat khianat terhadap orang lain,” jelasnya.

Queen turut menafikan dirinya pernah mengamalkan sebarang ritual khusus untuk memuja patung dalam koleksinya dan menganggap ia sekadar hobi.

Katanya, dia ada cara tersendiri menjaga patung-patungnya termasuk memberikan nama dan tarikh lahir, selain perlu dibersih dan didandan agar sentiasa kelihatan cantik.

Walaubagaimanapun, wanita berusia 31 tahun itu mendakwa patung koleksinya mempunyai ‘roh’, tetapi ia tidak terikat dengannya.

‘Roh’ itu dikatakan boleh datang dan pergi mengikut kehendak mereka. Alamak seramnya.

Berkongsi pengalamannya, mengambil patung ‘spirit doll’ sebagai anak angkat daripada orang lain bukanlah sesuatu yang murah.

Ada harga yang perlu dibayar iaitu sekitar RM300. Namun, harga itu bergantung kepada keadaan patung dan semakin lama, semakin tinggi nilainya.

“Seperti biasa, apabila mengambil sesuatu patung sebagai anak angkat, kita perlu memberinya nama, tarikh lahir dan menjaganya dengan baik,” kongsinya lagi.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply