Saturday, May 25, 2024
HomeBERITADimensi kesejahteraan sosial asas MADANI

Dimensi kesejahteraan sosial asas MADANI

Oleh: Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi

Istilah madani bukanlah istilah baharu dalam pengucapan atas perbincangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri ke-10. Sejak 1980-an dan 1990-an, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut secara langsung dan tidak langsung mengenai Madani.

Dalam konteks idea, ia dikemukakan dalam bukunya Asian Renaisance seawal 1997. Perbincangan mengenai idea tersebut telah juga dikemukakan sejak zaman beliau menjadi aktivitis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Justeru, sudah tentu menarik bahawa idea Madani mendapat perhatian bukan sahaja beliau yang dikenali sebagai pemimpin masa depan negara dan antarabangsa ketika itu. Hubungan luas beliau dengan aktivis dan pemimpin dunia memberikan percambahan interaksi mengenai idea, pemikiran dan gagasan. Maka, idea Malaysia Madani ini dilihat dalam kerangka Malaysia dan bukannya kerangkap luar, sama ada kerangka barat atau Asia Barat.

Minat membaca pula mampu memberikan perspektif yang luas mengenai sesebuah gagasan yang bukan semata-mata dari satu kaca mata semata-mata, bahkan daripada pelbagai perspektif dan berkemampuan merumuskan segala sudut pandangan dengan lebih bijaksana. Demikian juga dengan gagasan Madani yang mempunyai akar perbincangan kalangan sarjana timur dan barat, kemudian diberikan perspektif acuan tempatan sehingga terbentuk Malaysia Madani.

Malaysia Madani

Konsep ini adalah intipati yang menggabungkan aspek kemampanan dan kemakmuran untuk membangunkan negara, mensejajarkan dengan aspek daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan. Keenam-enam aspek kemudian dijadikan teras untuk membina negara idaman. Dalam konteks ini akan dibincangkan aspek kemampanan atau dikenali sebagai sustainability.

Kemampanan

Idea kemampanan ialah berteraskan hasrat untuk memenuhi keperluan generasi semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang. Ia juga memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial. Hal ini sesuai dengan konsep  lmadani iaitu untuk berada  dalam masyarakat pertengahan, masyarakat moderat akan tetapi progresif.

Sekiranya prinsip ini dipelihara, maka ia mampu memberi manfaat kepada manusia dan alam sekitar, bukan sahaja keuntungan dari segi nilai, pendapatan tetapi juga keuntungan aspek kemanusian dan nilai sejagat.

Terdapat empat tonggak kelestarian atau kemampanan ini, iaitu kelestarian manusia, sosial, ekonomi dan alam sekitar. Kelestarian manusia untuk mengekalkan dan meningkatkan modal insan dalam masyarakat. Aspek ini mampu dilaksanakan melalui tindakan untuk memberikan perhatian dan cakna dalam sistem kesihatan dan pendidikan, membuka akses seluas-luasnya kepada perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan masyarakat, memastikan keselamatan dan keterjaminan mainan pemakanan, membina masyarakat berpengetahuan, menguasai teknologi terkini dan kemahiran tinggi dalam apa-apa bidang untuk memajukan masyarakat.

Kelestarian sosial

Kelestarian sosial berlaku apabila proses berlaku sama ada secara formal dan tidak formal, melibatkan sistem dan struktur serta mempunyai perhubungan secara aktif antara satu sama lain bagi menyokong kapasiti generasi semasa dan akan datang dalam usaha untuk mewujudkan komuniti sihat dan mendiami kawasan yang selamat, sejahtera dan harmoni.

Hakikatnya, kelestarian sosial yang kukuh akan membentuk masyarakat yang mapan secara sosial kerana terdapat hubungan mesra yang saksama, kepelbagaiaan dan saling berkait dan bergerak secara demokratik dan ini mampu memberikan impak mutu kehidupan yang lebih baik.

Situasi mewujudkan suasana optimis yang menggalakkan kesejahteraan, dengan memahami perkara yang diperlukan oleh orang ramai dari tempat mereka tinggal dan bekerja. Kemampanan sosial menggabungkan reka bentuk alam fizikal dengan reka bentuk dunia sosial – infrastruktur untuk menyokong kehidupan sosial dan budaya, kemudahan sosial, sistem untuk penglibatan rakyat, dan ruang untuk orang dan tempat berkembang.

Dalam konteks ini, ia bukan sahaja membangunkan proses dan struktur untuk memenuhi keperluan ahli masyarakat semasa tetapi juga menyokong keupayaan generasi akan datang untuk mengekalkan komuniti yang lebih sihat.

Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kelestarian sosial dapat membantu dunia niaga dengan membuka kunci pasaran baharu, membantu mengekalkan dan menarik rakan kongsi perniagaan, menjadi sumber inovasi untuk seperangkat produk atau perkhidmatan baharu, meningkatkan semangat dalaman dan penglibatan pekerja, mempertingkatbaik aspek pengurusan risiko dan mampu menangani konflik syarikat-komuniti.

Dimensi kesejahteraan sosial

Terdapat lima dimensi kesejahteraan sosial iaitu dimensi kepelbagaian, ekuiti, kualiti hidup, kematangan, demokrasi dan tadbir urus, dan perpaduan yang saling berkaitan. Dalam dimensi kepelbagaian, ia merujuk aspek penglibatan kepelbagaian pihak golongan sasaran dan kesesuaian bagi memenuhi keperluan khusus golongan tersebut.  Hal ini menegaskan ia perlu mengiktiraf kepelbagaian dalam kumpulan budaya, etnik dan kaum dan membenarkan pelbagai pandangan, kepercayaan dan nilai diambil kira.

Maka ini perlu menggalakkan pemahaman dan penerimaan dalam komuniti yang lebih luas daripada pelbagai latar belakang, budaya dan keadaan hidup.

Dimensi kedua adalah aspek ekuiti iaitu perlunya membantu kumpulan sasaran untuk mempunyai lebih kawalan ke atas kehidupan mereka, dari segi sosial dan ekonomi.  Ia juga perlu mengurangkan aspek kelemahan untuk golongan sasar.

Kepentingan untuk mengenal pasti punca kelemahan dan ketidaksamaan dan mencari jalan untuk mengurangkannya perlu dibuat.

Terdapat usaha mengenal pasti dan menyasarkan untuk memenuhi keperluan mana-mana orang yang kurang bernasib baik dan terpinggir dalam kumpulan sasaran dan perlu dilaksanakan, disampaikan tanpa berat sebelah dan menggalakkan konsep keadilan dilaksanakan.

Kesepaduan sosial

Dimensi ketiga ialah kesepaduan sosial sebagai usaha membantu golongan sasaran masyarakat untuk mengembangkan rasa kekitaan dalam komuniti yang lebih luas agar dapat meningkatkan penyertaan dalam aktiviti sosial oleh individu dalam kelompok tersebut.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pemahaman kumpulan sasaran dan akses kepada institusi awam dan sivil. Ia juga perlu membina hubungan antara kumpulan sasaran dan kumpulan lain dalam komuniti yang lebih luas.

Persediaan sama ada akan menyebabkan penyediaan peningkatan sokongan kepada kumpulan sasaran oleh masyarakat yang lebih luas atau sebaliknya juga perlu diambil kira.

Ini penting agar dapat menggalakkan kumpulan sasaran untuk menyumbang kepada masyarakat atau memberikan sokongan kepada orang lain.

Dimensi keempat ialah merujuk kepada kualiti hidup dengan mengambil kira pelaksanana program, projek, aktiviti dalam masyarakat Madani itu agar dapat menambah baik peluang misalnya dalam isu pemilikan tanah, rumah mampu milik, keusahawan dan sebagainya. Kualiti hidup juga akan perlu mampu meningkatkan hasil kesihatan fizikal, kesihatan fizikal untuk kumpulan sasaran, selain dapat menambah baik lagi peluang pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran untuk golongan sasaran dalam masyarakat.

Demokrasi

Dimensi terakhir kelestarian sosial ialah aspek demokrasi dan pemerintahan iaitu dengan membuka golongan sasaran masyarakat yang mahu dibina asas Madani agar pelbagai pihak dapat mengambil bahagian dan diwakili dalam proses membuat keputusan.

Proses membuat keputusan untuk sesuatu perkara itu pula perlulah lebih jelas dan mudah difahami oleh semua pihak berkepentingan. Isu peruntukan yang mencukupi, telus dan dibantu kakitangan terlatih berkelayakan, sesuai dan ditadbir dengan betul, mempunyai matlamat jelas untuk dicapai dan bersedia proaktif berdepan segala kemungkinan pada masa akan datang penting dalam menjamin dimensi demokrasi dan pemerintahan terserlah aspek kelestarian sosial.

Penulis Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi The Malaya Post.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments