Saturday, November 21, 2026
HomeBERITADikategorikan negara berpendapatan menengah atas, Malaysia tak layak terima vaksin COVID-19 percuma

Dikategorikan negara berpendapatan menengah atas, Malaysia tak layak terima vaksin COVID-19 percuma

Malaysia tidak layak menerima vaksin COVID-19 percuma dari negara luar termasuk India kerana dikategorikan sebagai negara berpendapatan menengah atas.

Demikian jawapan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin ketika ditanya kemungkinan Malaysia terpilih sebagai antara negara menerima bekalan vaksin percuma yang ditawarkan kerajaan India, selepas Ghana menjadi negara pertama menerima vaksin dari Covax, iaitu satu skim global yang memberi vaksin COVID-19 secara percuma untuk negara miskin.

“Pemberian vaksin secara percuma hanya diberikan kepada negara yang berpendapatan rendah dan sederhana. Mereka akan menerima vaksin percuma dari China, India dan Rusia.

“Berbeza dengan Malaysia yang dikategorikan sebagai upper middle income, diskaun tak dapat, percuma pun tidak, kita kena beli semua vaksin. Itu situasi semasa yang kita hadapi.

“Ini menyebabkan Malaysia terpaksa membeli vaksin untuk melaksanakan program imunisasi kepada rakyat,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Tinggi India bagi rundingan pembelian vaksin novavax yang mempunyai kadar keberkesanan agak tinggi, selain rundingan dengan beberapa syarikat negara itu termasuklah pengeluar vaksin terbesar di dunia, Serum Institute of India.

“Kita adakan rundingan dengan semua pihak tapi India menetapkan beberapa syarat penjualan bagi vaksin-vaksin tertentu. India juga berhasrat menjual vaksin dari Bharat Biotech tetapi masalahnya, mereka belum menjalankan ujian klinikal fasa ketiga.

“Sukar untuk kita membeli kerana belum mempunyai data klinikal walaupun negara itu telah menggunakan vaksin berkenaan dalam program imunisasi mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, seramai 321,331 individu telah menerima dos pertama vaksin dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Manakala lebih 5.6 juta individu telah mendaftar untuk menerima dos pertama vaksin setakat ini.

“Esok, bermula dos kedua vaksin COVID-19 bagi penerima fasa pertama dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi penerima suntikan dos kedua yang pertama di negara ini” umumnya.

Berkenaan status negeri di Pantai Timur yang mencatatkan peratusan terendah pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy telah meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meningkatkan usaha bagi menggalakkan rakyat di negeri berkenaan agar mendaftar untuk suntikan vaksin.

“Saya minta Nadma menggerakkan jentera akar umbi di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Sabah untuk menggalakkan rakyat mendaftar dengan cara menemui penduduk dari rumah ke rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Faktor kurangnya penduduk negeri Pantai Timur mendaftar mungkin disebabkan maklumat yang tidak tepat yang tersebar dalam media sosial. Jadi saya akan jumpa dengan ahli parlimen minggu depan dan minta sokongan mereka untuk galakkan pendaftaran terutama di Terengganu dan Kelantan,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments