Jamal Abdillah, AishaHanim tampil dengan lagu baharu untuk negeri Perak

0

Penyanyi versatile lagenda negara, Dato’ Jamal Abdillah dan penyanyi duo kembar AishaHanim menyumbangkan suara untuk lagu tema rancangan baharu berkonsepkan majalah (infotainment) ‘Moh Kenei Perak’ yang kini bersiaran di saluran televisyen terkenal, TV3.

Lagu yang diberi judul ‘Moh Kenei Perak’ cetusan idea Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dinyanyikan oleh Dato’ Jamal dan AisyaHanim dalam dialek Perak.

Seperti sirih pulang ke gagang, pemilihan Raja Pop Malaysia menyanyikan lagu ini amat bertepatan memandangkan beliau merupakan anak jati Perak yang lahir dan dibesarkan di Teluk Intan.

Terkenal dengan jolokan penyanyi bersuara jantan, Dato’ Jamal Abdillah turut berduet bersama penyanyi duo kembar wanita senegeri, AishaHanim yang semakin dikenali menerusi lagu runut bunyi drama rantaian popular, Bukan Gadis Biasa berjudul Angkara.

Dengan lirik lagu berkisarkan tentang keindahan dan keistimewaan negeri Perak, lagu yang mendapat sentuhan komposer terkenal menaikkan bakat-bakat baharu, Apak Harry Khalifah nyata memberi kelainan dengan genre dan lenggok nyanyian Dato’ Jamal Abdillah sebelum ini.

Lagu Moh Kenei Perak juga akan dijadikan sebagai lagu simbolik bagi negeri Perak memandangkan konsep komersial yang diterapkan komposer bersama penulis lirik, Ajim Maze amat sesuai dijadikan sebagai lagu pelancongan negeri berkenaan.

Klip Video dan nyanyian penuh lagu berkenaan akan tayangkan mulai esok di saluran YouTube Channel Moh Kenei Perak.

Moh Kenei Perak terbitan Nang Surya Studios dihoskan oleh penyanyi dan pelakon popular tanahair Shiha Zikir bersama pelakon versatile, Zul Huzaimy Marzuki.

Setakat ini tujuh episod sudah disiarkan di TV3 dan kepada anda yang ingin menonton siaran ulangannya bolehlah tonton dan subscribe YouTube Channel Moh Kenei Perak.

https://www.youtube.com/channel/UCSgq70IO1-ujEQUVLpj0zCw

Program 13 episod ini dibawakan khas oleh Kerajaan Negeri Perak memaparkan episod penjelajahan dua selebriti tanahair bersama Krew Moh Kenei Perak ke 12 daerah di negeri Perak Darul Ridzuan.

Kepada para peminat Raja Pop Malaysia, Moh Kenei Perak!


* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply