Datin Seri Rosmah Mansor dimasukkan ke hospital malam ini

0

KUALA LUMPUR 3 Feb : Isteri Mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dimasukkan ke hospital malam ini bagi menerima rawatan susulan di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Datin Seri Rosmah dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 10.30 malam ini, ditemani suami Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Datuk Seri Najib ketika ditemui berkata, beliau akan menemani isteri beliau sepanjang tempoh rawatan ini.

“Isteri saya tidak sihat dan perlu jalani rawatan. Saya akan bersama menemani isteri saya sepanjang tempoh rawatan” kata Datuk Seri Najib ketika di temubual wartawan The Malaya Post di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur malam ini.

Menurut Peguam Datin Seri Rosmah ketika dihubungi The Malaya Post, rawatan awal doktor mengesahkan beliau mengalami sakit belakang dan tengkuk yang serius di mana beliau memerlukan rehat secukupnya.

“Datin Seri Rosmah mengalami sakit belakang dan tengkuk yang serius di mana tak boleh berdiri dan duduk lama.

“Doktor menasihatkan supaya beliau dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut pagi esok. Doktor memberitahu beliau perlu rehat yang secukupnya”, katanya kepada The Malaya Post.

Sebelum ini, Datin Seri Rosmah, 69 tahun, telah menjalani rawatan pesakit luar di hospital sama namun doktor menasihatkan supaya beliau dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Siang tadi perbicaraan rasuah terhadap Datin Seri Rosmah Mansor ditangguhkan selepas peguamnya memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa isteri bekas perdana menteri itu cuti sakit.

Peguamnya, Datuk Jagjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa Datin Seri Rosmah tidak sihat dan doktornya mengeluarkan sijil perakuan sakit pada 2 Febuari lalu yang menyatakan beliau tidak dapat hadir ke mahkamah.

Peguam itu juga mengemukakan laporan perubatan Datin Seri Rosmah kepada mahkamah yang mengatakan beliau dirawat di sebuah hospital swasta di ibu negara, semalam.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya berkata, beliau bersimpati dengan keadaan Datin Seri Rosmah tetapi berkata tarikh perbicaraan itu sangat berharga kepadanya.

Mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan hari ini dan Selasa tetapi pendengaran akan bermula pada Rabu.

“Saya akan membenarkan dia duduk di atas kerusi roda dan bukannya di kandang tertuduh dan akan tangguh perbicaraan jika dia sakit,” katanya.

Datin Seri Rosmah didakwa atas 3 pertuduhan rasuah.

Pendakwaan mengikut seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. –THE MALAYA POST

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply