Dakwa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tidak relevan, Annuar Musa bidas Guang Eng

0

Kuala Lumpur, 10 Sept – Tan Sri Annuar Musa membidas tuduhan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mendakwa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh beliau sebagai tidak relevan ekoran kenaikan kadar OPR oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

Menurut Tan Sri Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, pasukan khas berkenaan yang diberikan tanggungjawab mengawal inflasi mempunyai tugas yang lebih spesifik berbanding tugas BNM yang lebih kepada pengurusan monetari yang menumpukan ekonomi makro negara.

Tambah beliau melalui pasukan khas ini, barangan yang naik harga secara mendadak yang memberi kesan kepada rakyat diberi tumpuan melalui kajian, siasatan, libat urus dan dasar yang melibatkan rantaian bekalan dengan pemegang taruh seperti pengilang, pemborong dan peruncit.

“Untuk mengatakan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tidak relevan dan tidak berkesan kerana alasan BNM menaikkan OPR adalah terpesong sama sekali.

“Pasukan Khas yang diberikan tanggungjawab mengawal inflasi mempunyai tugas yang lebih spesifik berbanding tugas Bank Negara yang lebih kepada pengurusan monetari yang menumpukan ekonomi makro negara,” katanya di Facebook.

Jelas beliau lagi, selaku bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seharusnya lebih arif tentang peranan Bank Negara Malaysia dalam membuat keputusan dan dasar.

“Lim Guan Eng sebagai bekas Menteri Kewangan sepatutnya lebih arif tentang tugas dan peranan BNM sebagai pembuat dasar monetari yang bebas membuat dasar tanpa campur tangan langsung Kerajaan,”katanya.

Menurut Annuar lagi, sehingga hari ini, pasukan Khas Jihad Tangani inflasi telah berjaya mengawal kenaikan harga barang hasil dari intervensi dasar dan penguatkuasaan yang ketat.

“Contohnya seperti harga ayam, telur dan minyak masak yang naik mendadak sejak tahun lepas atas sebab beberapa faktor yang kini sudah stabil malah mengalami penurunan dengan pelaksanaan beberapa intervensi dasar seperti harga maksimum dan penguatkuasaan yang lebih ketat.

“Pada masa yang sama pasukan khas ini juga menumpukan kepada usaha mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup kepada golongan sasar seperti kumpulan B40 dan mahasiswa dengan penganjuran program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang diperluaskan di seluruh negara termasuk 21 program JMKM di kampus universiti awam dan juga penglibatan koperasi dalam rantaian bekalan dalam usaha memerangi orang tengah yang mengambil untung berlebihan,” katanya.

Jelas beliau lagi, Lim Guan Eng tidak layak menjadi hakim kepada keberkesanan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi kerana ia ditentukan dan diadili oleh rakyat sama ada pasukan diketuainya itu gagal atau tidak kerana rakyatlah yang menerima manfaat daripada penubuhannya.

Kelmarin, Pengerusi DAP itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan mendakwa jawatankuasa itu sebagai ‘tidak berkesan, tidak cekap dan tidak relevan’.

Kelmarin, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply