Thursday, October 17, 2024
HomeBERITABN mampu menang 132 kerusi Parlimen

BN mampu menang 132 kerusi Parlimen

Pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 telah membawa kepada tamatnya kemelut isu pembubaran parlimen yang membabitkan banyak pihak yang memberikan pelbagai alasan dan hujahan berkaitan tarikh pembubaran.

Pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, telah memberikan ruang kepada parti politik khususnya Barisan Nasional (BN) untuk menetapkan calon parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Pengumuman calon oleh Pengerusi BN, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pada 1 November 2022 telah menimbulkan pelbagai reaksi gembira, sedih serta kebimbangan di kalangan ahli parti apabila ramai nama besar politik BN tidak tersenarai.

Di sini pelbagai parti seperti PN, PH, GTA dan beberapa parti lain mula melihat BN bakal hilang banyak kerusi. Namun, di sebalik perspektif ini adalah tidak mustahil sekiranya BN mampu memenangi minimum 132 kerusi parlimen dalam PRU 15. Adakah minimum 132 kerusi Parlimen merupakan jumlah terlalu besar? Terlebih konfiden?

Pertama, realitinya sehingga 6 April 2018 ketika pembubaran Parlimen bagi PRU 14 jumlah kerusi BN adalah berjumlah 132 yang mana dalam PRU 13 BN telah memenangi 133 kerusi manakala Pakatan Rakyat memenangi 89 kerusi.

Kemenangan BN di Telok Intan dan pemecatan Tan Sri Mahiadin Yasin serta Dato Seri Shafie Afdal bertindak keluar parti menjadikan UMNO memiliki 132 kerusi. Ini bermaksud sebelum jatuhnya BN pada Mei 2018 PRU14 jumlah semasa kerusi BN adalah 132.

Jumlah kerusi ini adalah jumlah kerusi boleh menang dengan “mood rakyat” terhadap BN negatif ketika itu daripada 157 kawasan marginal majoriti Melayu di seluruh negara. Jadi PRU 15 adalah tidak mustahil minimum adalah lebih 132 memandangkan “mood rakyat” mahukan BN kembali memerintah.

Kedua, jumlah minimum 132 kerusi Parlimen BN ini dapat dilihat berdasarkan keputusan PAS yang buat pertama kalinya sejak tahun 1957 bertanding melebihi 80 kerusi iaitu 158 kerusi Parlimen, malah terpampang dalam lidah rasmi PAS, Harakah, tajuk “130: PAS Optimis Menang PRU14” (https://harakahdaily.net/index.php/2018/02/21/130-pas-optimis-menang-pru14/).

Dari manakah angka 130 kerusi yang diyakini PAS daripada jumlah yang ditandingi 158 kerusi? Ia adalah menunjukan PAS mensasarkan kerusi semasa kawasan Parlimen BN yang ketika itu memiliki 132 kerusi daripada 157 kawasan marginal Melayu. Justeru ia bermaksud terdapat 132 kawasan boleh menang yang menjadi sasaran BN dan PAS.

Ketiga, adakah reaksi negatif selepas pengumuman calon PRU 15 memberikan kesan kepada BN? Hakikatnya reaksi protes ini adalah perkara lumrah yang pernah dan sering berlaku kepada parti politik.

Namun dalam konteks BN, protes ini hanya bersifat “sementara dan memiliki tempoh bertenang”. Umumnya protes ini akan reda selepas 3 hari pengumuman calon apabila beberapa pihak kembali tenang, redha dan berfikir demi masa depan negara.

Ia dapat dilihat dengan jelas selepas 3 hari pengumuman calon, banyak bilik gerakan dan di pelbagai daerah mengundi telah kembali dibuka dan semakin rancak. Ia menunjukkan masalah ini tidak akan menjejaskan kemenangan BN.

Keempat, berdasarkan pencapaian BN sejak Januari 2019 sehingga Ogos 2020 terdapat lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan BN telah memenangi 7 daripada PRK dengan menggunakan logo BN.

Kemudian pada September 2020 berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang memiliki 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 38 kerusi dan BN merupakan kerusi terbesar dalam GRS dengan 14 kerusi.

Pada November 2021 berlaku PRN Melaka di mana BN memenangi 21 kerusi daripada 28 yang menjadikan BN memiliki 2/3 kerusi DUN.

Pada Mac 2022 berlaku PRN Johor di mana BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN juga merupakan kemenangan 2/3.

Kesemua ini menunjukkan rakyat telah kembali kepada BN dan tidak mustahil BN mampu memenangi minimum 132 kerusi parlimen dalam PRU 15.

Kelima, penolakan rakyat terhadap PH dan PN.

Penolakan rakyat terhadap PH dapat dilihat akibat daripada kegagalan serta pelbagai janji palsu yang ditabur kepada rakyat telah disedari dan menjadi teladan kepada rakyat Malaysia.

Malah pencapaian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam beberapa PRK, PRN Sabah (73 kerusi DUN), PRN Sarawak (82 kerusi DUN) dan PRN Melaka (28 kerusi DUN) dan Johor (56 kerusi DUN) secara umumnya amat teruk di mana ia gagal memenangi mana-mana kerusi melainkan hanya memenangi 1 kerusi dalam PRN Johor dan 2 kerusi dalam PRN Sabah sahaja.

Mengapa dalam banyak-banyak kerusi DUN di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, PKR hanya memenangi 3 kerusi sahaja?

Manakala PAS turut gagal memenangi mana-mana kerusi dalam PRN Melaka dan hanya memenangi 1 kerusi dalam PRN Johor DUN Maharani.

Justeru ia menunjukkan rakyat sudah kembali kepada BN dan bakal membentuk kerajaan persekutuan dengan jumlah kerusi yang besar.

Keenam, dengan kegagalan PH dan PN telah menjadi teladan kepada rakyat untuk tidak lagi memperjudikan nasib negara dan rakyat yang terpaksa menangung kegagalan yang berterusan.

Rakyat juga telah “serik” dengan terma “cuba tukar” apabila tindakan ini telah membawa bencana kepada negara.

Malah ketika harga dan stok ayam, minyak masak dan harga barang meningkat rakyat tidak lagi turun berdemonstrasi seperti sebelum ini kerana mereka sudah tidak sabar untuk memberikan kembali mandat kepada BN.

Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling adalah Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments