Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar sedih tidak dapat menghulur lebih bantuan kepada Allahyarham Benjy bagi mengubati penyakit asma kronik yang dihidapi.
Lapor Berita Harian, Ellie berkata, dia amat bersedih atas pemergian teman baiknya itu, namun reda Allah lebih menyayanginya.

“Arwah Benjy beritahu saya keadaannya batuk hingga keluar darah. Jadi, saya mengirimkan sedikit bantuan kewangan setiap bulan, cuma saya tidak dapat membantu sejak kebelakangan ini.
“Ini kerana saya tidak mempunyai banyak ‘job’ sejak pandemik COVID-19 menular, tahun lalu.
“Saya sedih, apatah lagi, memikirkannya arwah akan disemadi di Medan, Indonesia sekiranya meninggal dunia. Mendengar berita pemergiannya membuatkan hati saya remuk.
“Arwah menghubungi saya, minta ampun dan minta halalkan segala-galanya, minggu lalu. Saya tidak sangka itu petanda arwah akan pergi,” katanya.
Ellie berkata, dia sudah berjanji dengan arwah. Jika dibebaskan, dia akan menjemputnya di Medan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
“Arwah seperti adik saya. Bagaimana saya menyayangi arwah ibunya, begitu juga sayang saya pada arwah. Arwah ibunya banyak membantu membentuk saya dalam menghidupkan karakter lakonan.
“Besar harapan saya melihat arwah memulakan kehidupan baharu apabila dibebaskan. Saya juga mahu arwah membuat kemunculan semula dalam industri lakonan, namun, hasrat saya tidak kesampaian,” katanya.
Pelakon filem Soalnya Siapa dan Penanggal itu berkata, arwah juga menganggapnya seperti pengganti arwah ibunya.
“Ketika ramai rakan menjauhkan diri, saya tetap bersamanya. Arwah jenis setia dalam perhubungan dan persahabatan. Saya tidak mahu menilai kesilapan silamnya, tetapi saya tahu, arwah sangat bijak dan berbakat,” katanya.
Kongsi Ellie, arwah selalu menghubunginya, berkongsi luahan dan menyatakan kerinduan kepada keluarga.
“Arwah menghubungi saya jika mahu meminta bantuan membiayai perubatan di hospital, memandangkan kos sangat tinggi jika membabitkan banduan dari luar negara.
“Jujurnya, penyakit asma arwah memang teruk. Sebelum ini, arwah mahu membeli ‘inhaler’ untuk penyakitnya, jadi saya membantunya.
“Saya menasihatinya menjaga diri agar tidak terkena jangkitan COVID-19. Selain itu, kami merancang membuat kelas lakonan apabila arwah bebas nanti. Saya mahu mengembalikan keyakinannya meneruskan kehidupan dan lakonan,” katanya.

Katanya, dia juga sentiasa memberikan kata semangat untuk terus bersabar memandangkan arwah masih ada tempoh tujuh tahun lagi.
“Memang bunyinya agak lama, tetapi saya selalu katakan, ini adalah masanya untuk buat amal ibadah.
“Alhamdulillah, arwah banyak berubah dan menghabiskan masa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Arwah beritahu sudah khatam al-Quran, bersolat, berpuasa dan sebagainya,” katanya.

Ellie mengharapkan, orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan arwah Benjy dan segala urusan pengebumian di Medan berjalan dengan lancar.
Kali terakhir Ellie dan arwah Benjy bekerjasama menerusi telefilem Noda Setitik Arak siaran Astro Ria pada 2015.
Allahyarham Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma di Hospital Royal Prima, Medan, jam 11 pagi semalam.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply