Friday, July 19, 2024
HomeBERITAAnnuar sekali lagi bidas Guan Eng, tidak wajar dakwa Pasukan Khas Jihad...

Annuar sekali lagi bidas Guan Eng, tidak wajar dakwa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi gagal

Putrajaya, 12 Sept – Tan Sri Annuar Musa hari ini sekali lagi menyelar tindakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mendakwa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi tidak relevan dan gagal berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Tan Sri Annuar berkata, hal berkaitan polisi monetari negara bukan diputuskan pasukan khas itu atau Kabinet, tetapi diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di bawah BNM, yang mempunyai rekod cemerlang dalam pengurusan ekonomi negara.

“Tidak wajar seorang Ahli Parlimen kata OPR dinaikkan 25 mata oleh sebab itu jawatankuasa gagal. Terlalu dangkal cara penilaian terhadap pengurusan ekonomi negara,” kata Annuar mengulas gesaan Pengerusi DAP Lim Guan Eng supaya pasukan khas itu dibubarkan.

Tan Sri Annuar berkata, negara tertentu telah mengambil langkah drastik dengan menaikkan kadar OPR sebanyak 75 mata asas kerana mengalami tekanan inflasi yang tinggi tetapi di Malaysia, proses memulihkan OPR ke tahap stabil dibuat secara beransur-ansur dengan 25 mata asas.

“Tidak perlulah merasa sangsi atas tindakan yang dilakukan MPC, kerana mereka melihat kepada keseluruhan senario untuk memastikan negara mempunyai dasar monetari yang baik,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu.

Ujar beliau, komitmen Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan diteruskan, untuk menangani inflasi walaupun bukan satu isu yang mudah.

Beliau berkata, pasukan khas berkenaan bukan diwujudkan secara ad hoc kerana ia jawatankuasa berasaskan kertas Jemaah Menteri yang disediakan Unit Perancang Ekonomi Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

“Tidak boleh menuding jari, tolak bola sana sini. Kabinet ambil pendekatan secara terus dan juga menguruskan satu persatu setiap permasalahan rakyat yang tidak boleh dibiarkan begitu saja,” katanya menambah perlu ada kerjasama antara semua pihak dan tidak bekerja secara silo.

Mengenai keresahan kejatuhan nilai ringgit, Annuar berkata, keresahan penurunan nilai ringgit itu sebenarnya adalah terhadap nilai ringgit berbanding nilai mata wang tertentu khususnya dolar Amerika dan dolar Singapura, berbanding USD nilai ringgit melemah tujuh peratus dan 3.9 peratus berbanding dolar Singapura.

Namun, katanya kalau dilihat secara menyeluruh, nilai ringgit adalah mengukuh berbanding mata wang negara dagangan tertentu, contoh nilai ringgit berbanding Yen Jepun mengukuh 15.5 peratus dan berbanding pound Britain mengukuh 8.2 peratus, mengukuh berbanding won Korea 7.3 peratus dan Euro 4.4 peratus.

“Bagi yang benar-benar memahami melihat daripada keseluruhan nilai mata wang, prestasi kita adalah baik dari segi itu, tetapi berbanding USD ada perkara fundamental yang diteliti BNM sepanjang masa dan membuat penyelarasan tertentu termasuk mengawal selia kenaikan OPR,” katanya.

Pada 10 September lalu, The Malaya Post telah melaporkan mengenai kenyataan balas Tan Sri Annuar terhadap Guan Eng.

Tan Sri Annuar berkata selaku bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seharusnya lebih arif tentang peranan Bank Negara Malaysia dalam membuat keputusan dan dasar.

Untuk rekod, Lim pada Jumaat lalu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi serta menyifatkan mereka tidak berkesan, cekap dan relevan, untuk membendung kenaikan harga.

Memetik kenyataan BNM bahawa kenaikan OPR disebabkan tekanan inflasi, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, perkara itu pada dasarnya menafikan dakwaan Annuar bahawa inflasi dalam keadaan terkawal.

BNM pada 8 September menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, kenaikan kadar kali ketiga berturut-turut dibuat bank pusat itu.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments