Allahyarham Dato’ Sir Hussein Onn, Bapa Perpaduan Malaysia

0

Minggu lalu iaitu pada 19 Januari, genap 58 tahun pemergian Pengasas UMNO yang juga datuk saya, Allahyarham Onn Jaafar. Kalau saudara saudari baca dan masih ingat, pada hari yang sama saya telah menulis ringkas tentang Allahyarham di Facebook saya. Yang mana, saya tidak sangka posting tersebut akan mendapat perhatian lebih daripada biasa. Oleh sebab itu, hari ini saya amat mahu mencoretkan secara lebih mendalam tentang ketokohan Onn Jaafar di samping kisah kejayaan Barisan Nasional (BN) di Kimanis serta pandangan saya tentang situasi semasa negara.

Ini kerana, pada saya secara peribadi, kemenangan BN di Kimanis mempunyai nilai dan makna yang cukup istimewa serta ada kaitannya dengan Onn Jaafar. Bukan sahaja kerana ia kemenangan kelima selepas PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai. Malah, sepanjang keberadaan saya di Kimanis, saya dapat merasakan semangat perpaduan yang cukup luar biasa.

 

Sewaktu saya berkempen dari DUN ke DUN, kampung ke kampung, rumah ke rumah – saya sendiri menyaksikan jentera BN yang berjuang demi memenangkan Datuk Mohamad Alamin, tidak hanya dianggotai ahli dan penyokong parti yang berbangsa Melayu-Islam. Tetapi juga dibantu ahli keluarga BN yang berbangsa Cina, India serta pelbagai kaum Bumiputera Sabah.

Situasi ini mengingatkan saya kepada Onn Jaafar. Sewaktu beliau mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada semua kaum pada tahun 1951, hanya sebahagian kecil menyokong. Namun, selepas hampir 7 dekad, hari ini cucunya sendiri dapat melihat impian beliau yang mahu kesemua kaum bersatu padu memaknai perjuangan yang diasaskannya ini, menjadi kenyataan melalui BN.

 

Bukan itu sahaja, semasa saya bersama sahabat saya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad serta beberapa orang rakan seperjuangan berkempen di PDM Batu Enam, kami telah pergi ke rumah pengundi, Puan Agnes Anggim, Di hadapan rumah Puan Agnes ini, ada satu tulisan ‘Merry Christmas’. Jadi, salah seorang rakan saya mengucapkan Merry Christmas kepada anak Puan Agnes. Kemudian anaknya memberitahu, dirinya seorang Muslim dan ibu bapanya Kristian. Namun, perbezaan ini tidak menghalang mereka tinggal sebumbung, malah mereka sangat menghormati agama serta kepercayaan masing-masing.

Sesungguhnya, inilah wajah Malaysia sebenar dan inilah semangat kebersamaan serta perpaduan yang sangat diimpikan Onn Jaafar. Sebagai cucunya, suasana muhibbah dan harmoni yang saya lihat di Kimanis ini, memberi saya lebih kekuatan untuk terus melakukan yang terbaik demi meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham. Apatah lagi di saat negara hari ini terus diselubungi suasana yang tidak langsung memberi harapan kepada rakyat di luar sana. Lihat sahajalah dalam tiga minggu pertama tahun 2020 ini, sudah banyak tindak-tanduk negatif terutama dalam kalangan ahli politik yang menambah kelesuan dan kebimbangan rakyat.

Di Kimanis misalnya, kerana terlalu taksub untuk menang, ada pihak sanggup menabur fitnah bagi menjatuhkan pihak lawan. Ini termasuklah, menaikkan billboard yang menuduh BN amal politik perkauman dan agama. Memfitnah BN melaksanakan perancangan Pas Sementara Sabah (PSS). Merosakkan bendera dan poster calon BN. Kesemua ini bukanlah apa yang rakyat hendak dengar dan lihat. Rakyat ingin tahu perancangan pembangunan, pembelaan kebajikan, pemerkasaan anak muda, pemantapan keselamatan dan pelbagai lagi inisiatif yang dapat memastikan kesejahteraan hidup mereka.

Itu Kimanis. Johor tempat UMNO dilahirkan juga tidak terkecuali daripada polemik politik yang
membimbangkan. Di Sembrong, billboard ucapan Selamat Tahun Baru saya dirobohkan. Baru-baru ini pula berlaku pertukaran portfolio Exco Kerajaan Negeri Johor. Kalau diikutkan, ini kali ketiga berlaku perubahan besar dalam struktur kepimpinan Kerajaan Negeri Johor selepas pertukaran Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri tahun lalu. Kalaulah Onn Jaafar yang juga mantan Menteri Besar Johor
masih hidup, saya percaya beliaulah paling sedih dan kecewa melihat kecelaruan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Johor hari ini.

Saya menulis sebegini bukannya kerana saya sengaja mahu menghentam PH. Tetapi saya perlu bercakap bagi pihak rakyat yang mahukan perubahan. Saya telah berjumpa dan berbicara dari hati ke hati dengan ramai rakyat semasa turun berkempen. Dan saya telah dengar sendiri luahan kekecewaan mereka terhadap prestasi Kerajaan PH.

Justeru, pesan saya kepada PH – selagi ada sisa masa untuk berkuasa ini, jadilah Kerajaan yang peka. Cukup-cukuplah dengan politik fitnah dan mulalah bekerja demi rakyat. Banyak yang PH perlu laksanakan, yang paling penting – menambahbaik dasar ekonomi. Rakyat sekarang merasai polisi ekonomi yang dilaksanakan PH tidak membantu memenuhkan poket rakyat secara langsung. Sebab itu, kita perlukan inisiatif yang berupaya beri manfaat segera dalam meringankan kos sara hidup rakyat khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Kalau dinilai setakat hampir dua tahun ini, tidak banyak keadaan yang memihak rakyat. Janji PH untuk hapus tol secara berperingkat tidak tertunai, dividen ASB rendah malah dividen LTAT untuk warga ATM juga terburuk dalam sejarah.

Semasa hayat Onn Jaafar, membela kebajikan rakyat sentiasa menjadi antara agenda utama beliau. Sebab itu, pada pertengahan tahun 1950, beliau tubuhkan Lembaga Perusahaan dan Kemajuan Kampung (RIDA) yang kini dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA). Matlamat beliau ialah mahu menggalakkan masyarakat luar bandar khususnya Melayu pada waktu itu menceburi bidang ekonomi. Malah, beliau juga mahu memastikan masyarakat luar bandar mendapat pendidikan sempurna agar mampu mengubah nasib serta masa depan mereka. Inilah yang PH perlu contohi dan
perkasakan!

Pesan saya kepada seluruh ahli keluarga BN pula – kemenangan demi kemenangan yang kita raih, bukan jaminan untuk kita angkuh dan mendabik dada. Sebaliknya, jika kita mahu kembali dipercayai sebahagian besar rakyat, maka kita mesti konsisten membaiki kelemahan, mengukuhkan perpaduan dalam parti, memenuhi keperluan rakyat di Parlimen serta DUN yang kita kuasai dan sederap dalam setiap tindakan. Kita tidak boleh menganggap kelemahan PH sebagai kelebihan kita. Kita mesti membina kekuatan sendiri agar BN diyakini sebagai harapan mutlak rakyat untuk kembali menerajui negara selepas PRU-15 nanti.

Manakala, pesan saya kepada seluruh rakyat Malaysia – marilah kita menteladani semangat
perjuangan yang dimiliki Onn Jaafar. Marilah kita berkongsi tekad yang sama. Marilah kita bersatupadu. Marilah kita berganding bahu. Dan marilah kita berjuang bersama-sama, memastikan tiada pihak yang dapat berbuat sesuka hati di atas tanah air tercinta ini. Negara ini milik kita dan cucu cicit kita. Jadi, bersamalah kita pertahankannya. Ingat, #MalaysiaDeservesBetter!

Akhir kata, marilah kita berdoa, semoga roh Allahyarham Onn Jaafar dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang diredhai. Al-fatihah.

DATUK SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN

–THE MALAYA POST

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply