Kemaman, 14 Februari – Di Kemaman, Kerajaan Negeri Terengganu telah bertindak menurunkan kain rentang yang mengandungi tulisan ‘Agama Hindu Agama Tauhid’ di sebuah rumah ibadat di Kemaman selepas menerima laporan bahawa ia berpotensi menyebarkan ajaran sesat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, memaklumkan bahawa tindakan segera telah diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebaik sahaja perkara itu dilaporkan.
“Kami menerima laporan berhubung kain rentang tersebut dan segera mengambil tindakan menurunkannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau penyebaran ajaran yang bercanggah dengan prinsip agama,” katanya dalam satu kenyataan siang tadi.
Menurut beliau, pihak berkuasa sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab memasang kain rentang berkenaan serta motif di sebaliknya.
Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang bentuk penyebaran ajaran yang boleh mengelirukan masyarakat atau bertentangan dengan prinsip agama perlu ditangani dengan tegas bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply