Setiap pagi kita buka telefon.
Kita scroll Facebook, TikTok, Instagram atau portal berita. Kita melihat tajuk berita, video, komen dan pelbagai pandangan yang muncul di skrin.
Kita rasa kita sedang memilih apa yang mahu dibaca.
Tetapi, benarkah begitu?
Cuba fikir sejenak.
Kita menonton satu video politik. Tidak lama kemudian, muncul lagi video politik.
Kita membaca satu berita kemalangan. Selepas itu muncul pula beberapa lagi berita kemalangan.
Kita menyukai satu pandangan yang kita setuju. Tiba-tiba feed kita dipenuhi pandangan yang hampir sama.
Kita menyangka kita sedang membuat pilihan.
Sebenarnya, algoritma juga sedang membuat pilihan untuk kita.
Inilah perubahan besar dalam dunia media hari ini.
Dahulu, editor mempunyai kuasa besar untuk menentukan apa yang menjadi berita. Mereka memilih tajuk utama, menentukan berita yang berada di muka hadapan dan memutuskan perkara yang dianggap penting untuk diketahui masyarakat.
Hari ini, kuasa itu tidak lagi berada sepenuhnya di tangan editor.
Sebahagiannya telah berpindah kepada algoritma.
Daripada editor kepada algoritma
Dalam ekosistem media digital, algoritma bukan sekadar menyusun kandungan. Ia turut mempengaruhi kandungan mana yang mendapat perhatian dan bagaimana berita diedarkan kepada pengguna.
Kajian Marcel Garz dan Ferenc Szucs, “Algorithmic Selection and Supply of Political News on Facebook”, yang diterbitkan dalam Information Economics and Policy, Volume 62, March 2023, lmenunjukkan bahawa perubahan algoritma Facebook mempunyai kesan terhadap jumlah dan kepelbagaian berita politik yang dibekalkan di platform tersebut.
Ini bermakna platform digital bukan lagi sekadar tempat kita membaca berita.
Platform turut menjadi perantara yang menentukan berita mana lebih berpeluang untuk sampai kepada kita.
Dan algoritma belajar daripada tingkah laku kita.
Apa yang kita klik.
Apa yang kita tonton sampai habis.
Apa yang kita kongsi.
Apa yang kita komen.
Berapa lama kita berhenti pada sesuatu kandungan.
Daripada semua itu, sistem membina gambaran tentang minat dan kecenderungan kita.
Kita suka politik?
Lebih banyak politik.
Kita suka kontroversi?
Lebih banyak kontroversi.
Kita berhenti lama pada kandungan yang membuat kita marah?
Kemungkinan besar kita akan melihat lebih banyak kandungan yang mampu membuat kita berhenti lagi.
Di sinilah persoalannya menjadi lebih besar daripada sekadar teknologi.
Adakah kita masih memilih apa yang kita baca, atau kita sedang dibentuk untuk membaca apa yang algoritma fikir kita mahu baca?
Tetapi jangan salahkan algoritma sahaja
Namun, kita juga perlu berhati-hati.
Menyalahkan algoritma sepenuhnya adalah terlalu mudah.
Kajian Ronald E. Robertson dan rakan-rakan, “Users Choose to Engage with More Partisan News Than They Are Exposed to on Google Search”, diterbitkan dalam Nature, memberikan dapatan yang sangat menarik.
Dalam kajian tersebut, penyelidik membandingkan apa yang pengguna terdedah kepada dalam Google Search dengan apa yang mereka sendiri pilih untuk klik dan berinteraksi.
Dapatan mereka menunjukkan bahawa pengguna memilih lebih banyak berita yang selari dengan identiti dan kecenderungan mereka berbanding jumlah yang sebenarnya didedahkan kepada mereka.
Dalam erti kata lain, bukan algoritma sahaja yang memilih untuk kita. Kita sendiri turut memilih.
Dan di sinilah lingkarannya bermula.
Kita memilih.
Algoritma belajar.
Algoritma mencadangkan.
Kita memilih lagi.
Lama-kelamaan, terbentuk satu ekosistem maklumat yang semakin selesa dengan kepercayaan kita sendiri.
Kita sedang membina gelembung kita sendiri
Bayangkan seorang pengguna yang setiap hari membaca berita politik daripada satu sudut pandang.
Dia klik.
Dia komen.
Dia kongsi.
Dia menonton video sehingga habis.
Sistem membaca semua isyarat itu.
Kemudian lebih banyak kandungan yang serupa muncul.
Pengguna melihatnya lagi.
Dia semakin yakin.
Dia berinteraksi lagi.
Dan kitaran itu berulang.
Akhirnya, dia mungkin merasakan bahawa seluruh dunia sedang berfikir seperti dirinya.
Padahal dia hanya sedang melihat sebahagian daripada dunia.
Fenomena seperti ini sering dibincangkan melalui konsep “filter bubble” dan “echo chamber”.
Luca Serafini, dalam artikel “The Old-New Epistemology of Digital Journalism: How Algorithms and Filter Bubbles Are (Re)Creating Modern Metanarratives”, yang diterbitkan pada 2023 dalam Humanities and Social Sciences Communications, membincangkan bagaimana algoritma, rangkaian yang mempunyai kecenderungan sama dan proses platformization boleh menyumbang kepada pembentukan gelembung maklumat dan polarisasi.
Tetapi sekali lagi, realitinya lebih kompleks.
Algoritma bukan satu-satunya pemain.
Kita sendiri adalah sebahagian daripada sistem tersebut.
Apa yang popular belum tentu berkualiti
Masalah seterusnya ialah algoritma tidak semestinya tahu apa yang paling benar.
Ia mungkin lebih tahu apa yang paling menarik perhatian kita.
Dan dua perkara itu tidak sama.
Berita yang tenang mungkin tidak mendapat banyak klik.
Penjelasan yang panjang mungkin tidak menjadi viral.
Tetapi tajuk yang sensasi, kontroversi atau mencetuskan kemarahan boleh membuatkan seseorang berhenti daripada terus scroll.
Di sinilah konsep “popularity bias” menjadi penting.
Giovanni Luca Ciampaglia dan rakan-rakan, melalui kajian “How Algorithmic Popularity Bias Hinders or Promotes Quality”, yang diterbitkan dalam Scientific Reports pada 2018 mengkaji bagaimana algoritma yang memberi keutamaan kepada kandungan popular boleh mempengaruhi peluang pengguna menemui kandungan berkualiti.
Persoalannya mudah:
Adakah sesuatu itu popular kerana ia berkualiti, atau ia kelihatan berkualiti kerana algoritma terus menjadikannya popular?
Dalam dunia digital, populariti boleh menjadi satu bentuk kuasa.
Lebih banyak klik membawa lebih banyak perhatian.
Lebih banyak perhatian membawa lebih banyak interaksi.
Lebih banyak interaksi memberikan lebih banyak isyarat kepada algoritma.
Dan kitaran itu berterusan.
Dua orang, dua dunia
Lebih membimbangkan, dua orang yang hidup dalam negara yang sama, berada di bandar yang sama dan mengikuti isu yang sama boleh mempunyai pengalaman media yang sangat berbeza.
Seorang mungkin setiap hari melihat berita kerajaan.
Seorang lagi melihat berita pembangkang.
Seorang melihat berita ekonomi.
Seorang lagi melihat skandal.
Seorang melihat kandungan yang menyokong sesuatu dasar.
Seorang lagi hanya melihat kandungan yang mengecam dasar tersebut.
Kedua-duanya akhirnya berkata:
“Aku tengok sendiri apa yang berlaku.”
Ya.
Tetapi mereka mungkin melihat dua versi realiti yang berbeza.
Masalahnya bukan semestinya mereka berbohong.
Masalahnya ialah mereka mungkin tidak lagi mempunyai set maklumat yang sama.
Dan apabila kita tidak berkongsi fakta asas yang sama, perbincangan awam menjadi semakin sukar.
Kita bukan lagi berdebat tentang tafsiran terhadap fakta.
Kita mula berdebat tentang fakta mana yang wujud.
Jadi, siapa sebenarnya editor?
Inilah persoalan besar untuk dunia kewartawanan.
Dahulu, masyarakat boleh bertanya:
“Siapa editor yang memilih berita ini?”
Hari ini, kita perlu bertanya soalan yang lebih besar:
“Siapa atau apa yang menentukan berita ini sampai kepada saya?”
Dalam sistem media tradisional, editor mempunyai tanggungjawab editorial.
Ada nama.
Ada organisasi.
Ada dasar editorial.
Ada etika kewartawanan.
Ada ruang untuk dipersoalkan.
Tetapi apabila keputusan dibuat oleh sistem algoritma yang kompleks, persoalannya menjadi lebih sukar.
Siapa yang bertanggungjawab apabila sesuatu berita menjadi viral?
Siapa yang menentukan kandungan mana mendapat keutamaan?
Siapa yang memutuskan apa yang muncul di skrin kita dan apa yang tidak?
Dan apakah kriteria yang digunakan?
Kita tidak boleh menelefon algoritma dan bertanya:
“Kenapa berita ini muncul kepada saya?”
Algoritma tidak mempunyai kolum editorial.
Ia tidak menulis penjelasan.
Ia tidak datang ke studio untuk berdebat.
Namun, ia semakin mempunyai kuasa untuk menentukan apa yang kita lihat, apa yang kita bincangkan dan akhirnya apa yang kita anggap penting.
Literasi media tidak lagi mencukupi
Sebab itu dalam era algoritma, masyarakat memerlukan sesuatu yang lebih daripada sekadar literasi media.
Kita memerlukan literasi algoritma.
Kita perlu faham bahawa apa yang muncul di skrin kita bukan keseluruhan dunia.
Ia hanyalah dunia yang telah ditapis berdasarkan pelbagai isyarat termasuk tingkah laku kita sendiri.
Jangan hanya membaca satu sumber.
Baca pandangan yang kita tidak setuju.
Semak sumber asal.
Jangan hanya membaca tajuk.
Dan jangan anggap sesuatu itu benar hanya kerana ia muncul berulang kali di skrin kita.
Pengulangan bukan bukti kebenaran.
Kadangkala ia cuma bukti bahawa algoritma sudah belajar tentang kita.
Akhirnya, siapa yang membaca siapa?
Pada akhirnya, persoalan paling besar dalam era media digital bukan lagi:
“Siapa yang menulis berita?”
Tetapi:
“Siapa yang menentukan berita mana yang sampai kepada kita?”
Dulu, editor menentukan apa yang kita baca.
Hari ini, algoritma turut menentukan apa yang kita nampak.
Dan kita pula terus memberikan data kepadanya melalui setiap klik, tontonan, komen, perkongsian dan scroll.
Kita fikir kita sedang membaca berita.
Sedangkan pada masa yang sama, sistem sedang membaca kita.
Mungkin inilah paradoks terbesar media digital hari ini:
Kita membaca berita untuk memahami dunia.
Tetapi algoritma membaca kita untuk menentukan dunia mana yang akan kita lihat.–THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman ialah Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post. Beliau kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan fokus kajian dalam bidang “Media Analytics”.

Leave a Reply