KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong menegaskan bahawa pendirian menolak kerjasama politik dengan DAP tidak bermaksud menolak masyarakat Cina, India atau mana-mana kaum lain di negara ini.
Beliau berkata demikian kepada The Malaya Post ketika mengulas kenyataan ahli DAP, Prof Tajuddin Rasdi, yang melabel pendirian Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, sebagai “perkauman” kerana enggan bekerjasama dengan DAP.
“Menolak kerjasama dengan DAP tidak bermaksud menolak masyarakat Cina, India atau mana-mana kaum lain,” katanya.
Menurut Neow, DAP ialah sebuah parti politik dan tidak seharusnya dianggap sebagai wakil mutlak kepada sesuatu kaum.
“Sejak bila DAP menjadi wakil tunggal masyarakat Cina? Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP secara automatik dianggap menolak kaum Cina?” soalnya.
Beliau turut menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai dangkal dan berbahaya kerana cuba menyempitkan perbezaan politik kepada sentimen perkauman.
Dalam pada itu, Neow turut mempersoalkan tindakan Tajuddin yang membandingkan pendirian Onn Hafiz dengan Rundingan Damai Baling.
Katanya, rundingan tersebut berlaku dalam konteks menamatkan ancaman keselamatan negara dan konflik bersenjata, bukannya bagi membentuk kerjasama politik dalam sistem demokrasi.
“Jangan cuba mengubah sejarah semata-mata untuk menyesuaikannya dengan naratif politik parti sendiri,” katanya.
Beliau berkata setiap parti politik mempunyai hak untuk memilih rakan politik berdasarkan prinsip, ideologi dan mandat rakyat.
Menurutnya lagi, Onn Hafiz berhak menentukan pendirian politik yang diyakininya terbaik untuk Johor, manakala rakyat pula berhak untuk bersetuju atau sebaliknya melalui proses demokrasi.
Neow turut menyifatkan Onn Hafiz sebagai pemimpin pelapis yang progresif, sederhana dan bertanggungjawab, selain sentiasa membawa semangat Bangsa Johor yang menyatukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa budaya melabel pihak yang tidak sehaluan sebagai “perkauman” tanpa asas kukuh hanya akan merosakkan wacana politik negara dan memburukkan lagi polarisasi masyarakat.
“Malaysia tidak memerlukan ‘Rashid Maidin 2.0’. Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu merapatkan jurang, membina persefahaman dan menyatukan rakyat demi masa depan negara yang lebih stabil, makmur dan harmoni,” katanya.–THE MALAYA POST

Leave a Reply