Di Melaka seorang pengawal keselamatan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan bahan berkaitan ajaran yang difatwakan haram.
Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Shahirman Akbar Ali Khan, 36, berkuat kuasa serta-merta dan memerintahkan penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Menurut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki kira-kira 10 bahan termasuk kain rentang, kemeja-T, poster, buku dan dokumen berkaitan ajaran “The Ahmadi Religion of Peace and Light” di sebuah rumah di Telok Mas kira-kira jam 8 pagi semalam.
Mohammad Shahirman didakwa mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana menghina agama Islam, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Kanan, Muhammad Rafaie Zasari, yang memohon hukuman setimpal memandangkan perbuatan tertuduh bukan sahaja menghina agama Islam malah bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan hanya mengikut orang lain, selain mendakwa menghidap strok dan tidak berkemampuan membayar denda tinggi.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda tersebut, yang kemudiannya dilunaskan.
Semalam, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka menahan tertuduh selepas melakukan serbuan di sebuah rumah susulan maklumat awam.–THE MALAYA POST

Leave a Reply