Cubaan menyeludup hampir 100 tan beras berjaya digagalkan dalam operasi penguatkuasaan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasarudin M Nasir berkata, hasil risikan pihaknya membawa kepada pemeriksaan dua lori kontena di laluan masuk Blok E3.
Pemeriksaan mendapati kedua-dua lori berkenaan membawa beras tanpa sebarang pengisytiharan dari negara jiran.
Menurutnya, beras terbabit disembunyikan di bahagian belakang kontena bagi mengelirukan pihak berkuasa ketika pemeriksaan.
“Terdapat 49,950 kilogram (kg) beras dalam setiap lori menjadikan jumlah keseluruhan hampir 100 tan bernilai RM639,400.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) membabitkan Seksyen 20 iaitu kuasa rampasan dan Seksyen 21 iaitu pelucuthakan.
“Kesemua beras dirampas manakala kenderaan turut disita. Maklumat berkaitan ejen atau syarikat terlibat masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Nasarudin berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan melebihi RM1 juta dan kes diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah untuk tindakan lanjut.–THE MALAYA POST

Leave a Reply