Perbincangan tentang wanita dalam politik sering terhenti pada satu soalan mudah, berapa ramai wanita dicalonkan?
Namun persoalan yang lebih mendasar ialah mengapa sistem politik masih gagal meyakinkan pengundi bahawa wanita layak memimpin pada skala yang lebih besar?
Ucapan penggulungan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Nancy Shukri pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 membuka ruang refleksi yang lebih jujur. Menurut beliau, sejak tahun 2008, jumlah calon wanita yang diketengahkan dalam pilihan raya semakin meningkat. Namun peningkatan itu tidak selari dengan kadar kemenangan.
Realitinya, pengundi termasuk pengundi wanita tidak memilih berdasarkan jantina calon. Mereka mengundi berdasarkan parti, rekod perkhidmatan dan keyakinan terhadap keupayaan individu.
Dapatan ini disokong oleh kajian tempatan Persepsi Pengundi terhadap Kepimpinan Wanita dalam Politik yang diterbitkan dalam e-Bangi Journal of Social Sciences & Humanities (2024), yang mendapati pengundi lebih menilai pengalaman, kredibiliti dan kebolehan membuat keputusan, bukan faktor gender semata-mata.
Namun persoalan lebih besar timbul, jika keupayaan menjadi ukuran utama, mengapa jumlah wanita terpilih masih rendah?
Kajian antarabangsa membantu menjelaskan jurang ini. Artikel Not Tough Enough? Gender Stereotypes and Vote Choice in Switzerland yang diterbitkan dalam Journal of Women, Politics & Policy (2025) menunjukkan bahawa stereotaip gender masih mempengaruhi penilaian pengundi terhadap calon wanita.
Dalam kalangan pengundi yang memegang persepsi âisu lelakiâ, calon wanita cenderung dinilai lebih ketat walaupun prestasi dan pendirian politik adalah setara. Ini membuktikan bahawa medan politik tidak sepenuhnya neutral jantina, sebaliknya masih dibentuk oleh persepsi tradisional tentang kepimpinan.
Dalam konteks Malaysia, hakikatnya keterwakilan wanita dalam politik masih belum mencerminkan realiti masyarakat.
Wanita memainkan peranan besar dalam sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan dan perkhidmatan awam, sektor yang paling hampir dengan kehidupan rakyat namun masih kurang diwakili di peringkat pembuat keputusan tertinggi.
YB Nancy Shukri sendiri menegaskan bahawa walaupun jumlah Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat masih kecil, kualiti sumbangan mereka adalah signifikan.
Pemerhatian ini selari dengan dapatan kajian dalam Politics & Gender (2022) yang menunjukkan wakil rakyat wanita cenderung membawa lebih banyak isu berkaitan kebajikan sosial, keluarga dan kesejahteraan komuniti ke dalam perbahasan legislatif.
Justeru, cadangan beliau agar Kerajaan bersama parti-parti politik mempertimbangkan pindaan undang-undang dan Perlembagaan bagi menetapkan sekurang-kurangnya 30% keterwakilan wanita perlu dilihat sebagai satu pembaharuan struktur, bukan tuntutan simbolik.
Sasaran ini bukan untuk menjamin kemenangan automatik, tetapi untuk membetulkan ketidakseimbangan peluang yang telah lama wujud.
“Saya nak minta pada Kerajaan, kita ada formula tertentu untuk meminda undang-undang misalnya dari perlembagan atau bersama-sama parti politik untuk menetapkan sekurang-sekurang 30% wanita ditampilkan dan mereka berlawan semasa wanita yang mana akhirnya jumlah 30% dapat direalisasikan”, katanya.
Yang pasti, tanpa kerangka dasar yang jelas, penyertaan wanita akan terus bergantung kepada budi bicara parti dan faktor kebetulan.
Sedangkan kajian dalam International Political Science Review (2021) menunjukkan bahawa negara yang melabur secara sistematik dalam latihan kepimpinan, mentoring dan sokongan institusi berjaya meningkatkan keyakinan pengundi terhadap calon wanita dalam jangka sederhana.
Di sinilah program seperti PERANTIS menjadi relevan bukan sebagai slogan, tetapi sebagai pelaburan strategik untuk membina keupayaan, keyakinan dan kredibiliti pemimpin wanita masa depan.

Akhirnya, isu wanita dalam politik bukan isu wanita semata-mata. Ia adalah isu kualiti demokrasi.
Politik yang terlalu homogen berisiko menghasilkan dasar yang sempit dan terpisah daripada realiti rakyat. Politik yang inklusif pula lebih seimbang, lebih responsif dan lebih berdaya tahan.
Seperti yang pernah diungkap oleh Margaret Thatcher: âIn politics, if you want anything said, ask a man; if you want anything done, ask a woman.â
Malaysia tidak kekurangan wanita berkaliber. Soalnya bukan lagi sama ada wanita mampu memimpin, tetapi sama ada sistem bersedia berubah untuk membenarkan mereka memimpin.
Wanita bukan pelengkap demokrasi. Wanita adalah pengukuhnya.–THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

Leave a Reply