Pelaksanaan Undi 18 telah mencetuskan perubahan besar dalam landskap politik Malaysia. Buat kali kedua dalam sejarah negara, jutaan pengundi muda daripada Generasi Z (Gen Z) memasuki sistem demokrasi sebagai satu kuasa penentu yang signifikan.
Kehadiran mereka bukan sekadar menambah angka dalam daftar pemilih, sebaliknya membentuk corak baharu dalam wacana politik nasional.
Generasi yang lahir dan membesar dalam era digital ini membina pandangan politik melalui cara berfikir, berkomunikasi dan menilai realiti yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu.
Justeru, cabaran sebenar bukanlah sekadar menarik perhatian mereka, tetapi memahami bagaimana mereka memproses maklumat, membina kepercayaan serta membuat keputusan politik.
Menurut analisis oleh SSP Analytics, kegagalan menyesuaikan strategi komunikasi politik dengan budaya digital Gen Z berisiko mewujudkan jurang yang semakin melebar antara parti politik dan pengundi muda.
Seperti yang dirumuskan oleh firma penyelidikan dan analitik, “kalau tak faham istilah mereka, atau tak pernah dengar pun, itu tandanya kita sudah bukan di zaman ‘muda’ lagi.”

Gen Z dan media digital: Medan politik baharu
Berbeza dengan generasi terdahulu, Gen Z tidak melalui politik melalui ceramah, akhbar atau manifesto panjang. Sebaliknya, media digital menjadi medan utama pembentukan kesedaran politik mereka.
Kajian bertajuk Political Participation, Civic Education, and Social Media on Generation Z’s Political Engagement oleh Suhariyanto dan Rozak (2025), yang diterbitkan dalam The Eastasouth Journal of Social Science and Humanities, mendapati bahawa pendidikan sivik dan penggunaan media sosial memberi kesan signifikan terhadap penglibatan politik Gen Z.
Golongan berusia 18 hingga 24 tahun didapati lebih responsif terhadap mesej politik yang disampaikan secara digital, selain menunjukkan kecenderungan lebih tinggi untuk terlibat dalam perbincangan awam.
Kajian ini menegaskan bahawa platform digital kini berfungsi sebagai ruang pendidikan politik tidak formal bagi generasi muda.
Selari dengan itu, kajian Social Media as a Tool for Political Education among Gen Z (2025) turut mengesahkan bahawa platform seperti TikTok, Instagram, YouTube dan Discord bukan sekadar medium hiburan, malah menjadi tapak pembentukan pendapat politik dan nilai sivik.
Cara Gen Z menilai politik
Bertentangan dengan stereotaip bahawa Gen Z bersikap apati terhadap politik, pelbagai kajian menunjukkan mereka sebenarnya lebih kritikal dan berorientasikan nilai. Penilaian mereka terhadap politik tidak lagi berpaksikan kepada parti atau tokoh semata-mata, sebaliknya berdasarkan kejujuran, ketelusan, keaslian mesej serta konsistensi tindakan.
Seperti yang dirumuskan oleh SSP Analytics, Gen Z menilai politik melalui lensa yang kritikal, sangat sensitif terhadap isu semasa dan amat peka terhadap sebarang bentuk ketidaktulenan.
Media sosial memainkan peranan penting dalam proses ini, bukan sahaja sebagai sumber maklumat, malah sebagai ruang perbincangan, semakan fakta dan pembentukan identiti politik.
Bahasa digital sebagai cermin identiti politik
Salah satu ciri paling menonjol Generasi Z ialah penggunaan bahasa digital yang tersendiri. Istilah seperti rizz (karisma), sus (mencurigakan) dan no cap (jujur atau tidak menipu) bukan sekadar slanga, tetapi mencerminkan cara mereka menilai kredibiliti dan keaslian seseorang.
Namun, penggunaan istilah ini secara tidak tepat atau terlalu dibuat-buat oleh pihak luar, khususnya aktor politik, sering memberi kesan sebaliknya. Ia mudah dikesan sebagai tidak autentik dan sekadar strategi pemasaran.
Dalam konteks ini, kepercayaan Gen Z bukan sahaja sukar dibina, malah mudah hilang jika mereka merasakan wujud unsur kepura-puraan.
Implikasi terhadap PRU16
Menjelang PRU16, landskap politik Malaysia kini berada dalam fasa yang amat kritikal. Parti politik yang masih bergantung kepada retorik lama, pendekatan sehala dan kempen berasaskan hierarki berisiko kehilangan sokongan generasi pengundi terbesar dalam sejarah negara.
Sebaliknya, parti yang mampu memahami bahasa digital, berkomunikasi secara dua hala, konsisten dengan nilai yang dibawa serta hadir secara tulen di platform anak muda mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar untuk menambat sokongan Gen Z.
Seperti yang dirumuskan oleh SSP Analytics, parti yang benar-benar mampu “engage”, memahami bahasa dan menarik perhatian generasi ini berpotensi besar untuk memenangi PRU16.
Yang pasti, Undi 18 bukan sekadar perubahan had umur mengundi, tetapi menandakan titik perubahan besar dalam budaya politik Malaysia.
Generasi Z bukan anti-politik, sebaliknya mereka menolak politik yang tidak tulen, tidak telus dan tidak relevan dengan realiti semasa.
Dalam era digital, kepercayaan tidak boleh dipaksa, pengaruh tidak boleh dibeli dan sokongan tidak boleh diarah. Ia perlu dibina melalui komunikasi yang jujur, berfakta dan menghormati kecerdasan generasi muda.
Jika politik gagal berubah hari ini, maka ia akan ditinggalkan esok.–THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia dan Ketua Pengarang The Malaya Post, kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

Leave a Reply