SUNGAI BULOH, 23 Disember – Wanita UMNO Selangor menyelar hantaran “biadap” Setiasaha Publisiti DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dan beberapa pemimpin DAP lain di media sosial yang secara terbuka memperlihatkan seolah-olah rasa senang dan meraikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Razak.
Ketua Wanita UMNO Selangor, Dato’ Halimaton Saadiah Bohan berkata tindakan sedemikian bukan sahaja mencerminkan sikap biadap dan kurang ajar, malah menunjukkan kegagalan memahami sensitiviti politik serta prinsip asas kerjasama dalam sebuah Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan semangat saling menghormati yang sepatutnya menjadi teras hubungan antara parti-parti komponen Kerajaan. Perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap memperlekeh, mempersenda atau mempamerkan kegembiraan terhadap musibah politik dan peribadi pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa perkara itu menjadi lebih serius apabila membabitkan seorang bekas Perdana Menteri negara, yang wajar dihormati institusi dan kedudukannya walaupun berdepan perbezaan politik.
Sehubungan itu, Wanita UMNO Selangor berpandangan bahawa sudah tiba masanya pucuk pimpinan UMNO menilai secara serius, tegas dan berprinsip bentuk serta hala tuju kerjasama politik antara UMNO-Barisan Nasional dan DAP-Pakatan Harapan.
“Kerjasama politik tidak boleh dibina atas sikap angkuh, ketiadaan empati serta kegagalan menghormati rakan sendiri. Jika rasa hormat tidak lagi wujud, kerjasama ini akan sentiasa rapuh dan menyukarkan sebarang keputusan penting dibuat secara bersama demi kestabilan Kerajaan dan kepentingan rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Wanita UMNO Selangor turut menzahirkan sokongan serta simpati kepada Dato’ Seri Mohd Najib Razak dan menegaskan keyakinan bahawa sebarang keputusan politik yang bakal diambil oleh parti akan berpaksikan suara akar umbi, selain mempertahankan maruah serta prinsip UMNO.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply