Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAPRN Sabah: Keteguhan, Stabiliti & Akauntabiliti BN

PRN Sabah: Keteguhan, Stabiliti & Akauntabiliti BN

Esok, seluruh rakyat Sabah akan keluar menunaikan tanggungjawab demokrasi yang besar membuang undi untuk menentukan arah pentadbiran, masa depan pembangunan dan kestabilan negeri ini. Dalam tempoh kempen yang penuh dengan wacana, emosi dan analisis, beberapa kenyataan utama daripada pimpinan tertinggi BN menjadi perhatian kerana ia menyentuh persoalan asas: apakah nilai dan prinsip yang diperlukan untuk membawa Sabah ke hadapan?

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa Sabah mesti dihormati sebagai rakan setara dalam Persekutuan. Penekanannya terhadap tuntutan 40 peratus hasil negeri yang perlu ditangani mengikut semangat Perlembagaan adalah peringatan bahawa kedudukan Sabah sebagai wilayah yang membentuk Malaysia harus dihormati dengan setia. Ini bukan hanya soal angka, ia berkait rapat dengan maruah negeri dan keadilan antara wilayah.

Nada itu kemudian disambut oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat), yang menegaskan bahawa pembangunan yang berkesan memerlukan kestabilan politik. Dengan berkata bahawa UMNO “tidak sempurna tetapi teguh dalam perjuangannya”, Tok Mat mengingatkan kita betapa pentingnya kerajaan yang stabil untuk menggerakkan dasar secara konsisten. Dalam konteks politik Sabah yang sering berubah, kestabilan bukanlah slogan, tetapi satu keperluan asas untuk menarik pelaburan, membangunkan infrastruktur dan melindungi kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Naib Presiden UMNO, membawa perspektif tadbir urus yang lebih mendalam. Beliau mengingatkan bahawa keyakinan rakyat terletak pada rekod pentadbiran bukan sekadar janji. Datuk Seri Joe menekankan bahawa Sabah memerlukan pengurusan negeri yang telus, berdisiplin dan berakauntabiliti bagi memastikan pembangunan benar-benar dirasai, bukan sekadar dirancang. Visi yang besar hanya bermakna apabila ia dilaksanakan dengan konsisten.

Dari dimensi organisasi parti, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, memberi penekanan kepada disiplin dan kesepaduan. Peringatannya “Jangan sesekali mensabotaj parti sendiri” adalah refleksi kepada realiti lapangan politik, di mana kekuatan jentera ditentukan oleh kesetiaan dan kerjasama setiap ahli. Dalam konteks pilihan raya, disiplin bukan soal dalaman semata-mata, tetapi penentu kelancaran kempen yang akhirnya membantu rakyat menilai tawaran politik dengan lebih jelas.

Dari sudut komunikasi, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Penerangan UMNO, menegaskan bahawa politik hari ini memerlukan nada yang berhemah dan berfakta. Pendiriannya “tidak menambah minyak ke atas api kebencian”adalah pendekatan yang amat relevan dalam era digital yang sarat dengan maklumat bercampur emosi. Komunikasi yang matang membantu meredakan ketegangan dan mengembalikan ruang wacana kepada hujah dan fakta.

Dalam konteks Pentadbiran dan pembangunan Sabah, suara wanita turut memainkan peranan penting. Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO Malaysia, menegaskan bahawa wanita adalah nadi ketahanan dan daya juang parti. Petikannya “We are great women, who are loyal and resilient when faced with challenges and one who will not tire of fighting for the future of our children” mengingatkan kita bahawa isu wanita dan keluarga bukan periferal, tetapi inti kepada masa depan Sabah. Dengan peranan wanita yang merentasi ekonomi, pendidikan dan komuniti, suara mereka wajar menjadi sebahagian daripada pertimbangan dalam perancangan dasar.

Apabila suara pimpinan tertinggi BN digabungkan, terbentuk satu gambaran menyeluruh tentang apa yang menjadi keutamaan kepimpinan BN untuk Sabah, penghormatan terhadap hak negeri, politik yang stabil, tadbir urus berintegriti, struktur organisasi yang berdiri teguh, komunikasi profesional dan peranan wanita yang diberi tempat sewajarnya. Tidak satu pun suara ini berdiri sendiri, semuanya saling melengkapi seperti kepingan puzzle yang membentuk gambaran besar tentang keperluan negeri.

Menjelang hari mengundi esok, apa yang dipersembahkan oleh kepimpinan BN bukan arahan kepada rakyat, tetapi wacana. Wacana tentang apa yang mereka lihat sebagai prinsip-prinsip penting untuk membawa Sabah ke hadapan. Dalam sebuah demokrasi matang, peranan kepimpinan adalah menawarkan sudut pandang; manakala hak memilih kekal mutlak pada rakyat.

Esok, Sabah akan membuat keputusan. Apa pun hasilnya, ia akan menjadi asas kepada permulaan baharu negeri yang kaya dengan potensi ini, satu permulaan yang diharapkan lahir daripada pertimbangan yang jujur, matang dan berasaskan harapan masa depan seluruh keluarga Sabah.

Oleh Nik Suryani Megat Deraman, Pengarah Komunikasi Strategik (Penerangan, Media & Digital) Wanita Barisan Nasional

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments