Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAProgram Kewartawanan, Media Alam Melayu: Langkah Strategik Perkasa Suara dan Naratif Bangsa

Program Kewartawanan, Media Alam Melayu: Langkah Strategik Perkasa Suara dan Naratif Bangsa

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – “Sudah tiba masanya Kewartawanan Melayu dijenamakan semula.”

Demikian gesaan tokoh akademik dan sejarawan media, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, yang mahu universiti-universiti tempatan segera memperkenalkan Program Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kewartawanan dan Media Alam Melayu.

Menurut beliau, langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan kewartawanan berbahasa Melayu yang semakin terhimpit arus globalisasi, di samping melahirkan pengamal media yang memahami sejarah, budaya dan realiti sosial masyarakat Melayu.

“Tanpa tindakan segera, kita berisiko kehilangan suara dan naratif sendiri dalam wacana nasional dan antarabangsa,” katanya kepada The Malaya Post (TMP).

Kursus khusus media Melayu

Prof. Murad menjelaskan bahawa walaupun pengajian kewartawanan di Malaysia telah bertapak lebih 55 tahun, masih belum ada program yang dirangka khusus untuk memelihara, memajukan, dan menyumbang kepada industri dari sudut pandang Melayu.

“Tidak ada kursus dari dalam Sekolah Kewartawanan mengenai Sejarah Kewartawanan Melayu, Media Alam Melayu, Kewartawanan Jawi dan Bahasa Melayu, Ekonomi Media Melayu, Masyarakat Melayu, serta Penulisan Pendapat berlandaskan kepentingan dan naratif tempatan,” katanya.

Justeru beliau mengesyorkan supaya program ini digabungkan dengan Pengajian Melayu bagi memperkukuh kajian dan meluaskan pengaruh media tempatan sebagai instrumen diplomasi awam dan budaya di peringkat antarabangsa.

“Cadangan ini bukan sekadar akademik, tetapi strategik demi kepentingan kenegaraan, kemajuan ekonomi, kestabilan sosial dan politik,” tegasnya kepada TMP.

Dalam pada itu, Prof. Murad turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana universiti yang berhasrat melaksanakan program tersebut, termasuk menyumbangkan secara percuma kurikulum penuh bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana.

“Kita memerlukan pengamal media yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi turut memahami konteks sejarah, budaya dan geopolitik Alam Melayu,” ujarnya kepada The Malaya Post (TMP).

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments