Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAKertas siasatan diserahkan esok, adakah inkues kes Zara Qairina dibuka?

Kertas siasatan diserahkan esok, adakah inkues kes Zara Qairina dibuka?

Polis Sabah hari ini mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) esok, 4 Ogos 2025, untuk tindakan selanjutnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa dokumen siasatan tersebut telah melalui penelitian akhir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kini sedia untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan.

“Segala tindakan selanjutnya bergantung kepada arahan Pejabat Peguam Negara setelah kertas siasatan dikemukakan,” katanya.

Setakat ini, polis telah merakam keterangan daripada lebih 60 individu, termasuk pelajar, guru, ahli keluarga, serta beberapa pihak berkaitan.

Pihak polis turut mengesahkan bahawa siasatan telah dijalankan secara menyeluruh.

Tragedi 16 Julai: Persoalan yang masih belum terjawab

Untuk rekod, Allahyarhamah Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Media melaporkan jenazah dikebumikan pada hari yang sama tanpa sebarang proses bedah siasat, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan dan desakan masyarakat untuk siasatan lebih telus dan mendalam.

Laporan baharu dan permohonan Inkues

Lapor media, pada 1 Ogos 2025, ibu Allahyarhamah, Noraidah Lamat, 45, tampil membuat laporan polis baharu selepas mengingati semula kewujudan kesan lebam di bahagian belakang tubuh anaknya, yang dilihat ketika memandikan jenazah bersama beberapa wanita lain di hospital.

Dua peguam keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, dalam kenyataan bersama menjelaskan bahawa fakta itu tidak dimasukkan dalam laporan awal kerana ibu mangsa hanya mengingatinya selepas sesi soal jawab bersama peguam.

“Anak guam kami percaya kesan-kesan lebam tersebut berkemungkinan akibat kecederaan dari objek tumpul yang berlaku sebelum Allahyarhamah ditemui di bawah bangunan asrama,” menurut kenyataan peguam.

Sehubungan itu, satu permohonan rasmi difailkan ke Mahkamah Majistret untuk membolehkan kubur Allahyarhamah digali semula bagi tujuan bedah siasat.

Peguam turut memohon agar inkues dibuka di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah bagi menentukan punca sebenar kematian serta mengenal pasti sebarang unsur jenayah.

“Pada 31 Julai, kami telah menulis surat rasmi kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu agar menggunakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) bagi mengarahkan Majistret membuka inkues dengan segera,” tambah mereka.

Dakwaan buli dan ugutan pelajar senior

Sementara itu, pada laporan terdahulu bertarikh 30 Julai 2025, ibu mangsa memaklumkan bahawa dalam perbualan telefon terakhir, Allahyarhamah mengadu telah dibuli dan diugut oleh pelajar senior, termasuk dengan ancaman seperti:

“Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”

Peguam keluarga percaya maklumat itu mempunyai kaitan langsung dengan kecederaan yang dilihat pada tubuh mangsa dan menyifatkan ia sebagai asas kukuh untuk membuka semula siasatan serta memulakan prosiding inkues.

Kronologi Ringkas Kes Zara Qairina

  • 16 Julai 2025 (3.00 pagi): Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang.
  • 17 Julai 2025: Disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I. Jenazah dikebumikan tanpa bedah siasat.
  • 30 Julai 2025: Laporan polis dibuat oleh ibu mangsa mengenai dakwaan buli dan ugutan pelajar senior.
  • 1 Ogos 2025: Laporan polis baharu dibuat berhubung kesan lebam; permohonan rasmi dikemukakan untuk gali semula kubur dan bedah siasat.
  • 2 Ogos 2025: Kertas siasatan dibawa ke Bukit Aman untuk semakan akhir.
  • 3 Ogos 2025: Polis Sabah umum kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 4 Ogos 2025.

Yang pasti kini perhatian seluruh negara terarah kepada keputusan Pejabat Peguam Negara sama ada inkues akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Allahyarhamah Zara Qairina.

Pada masa yang sama, timbul persoalan penting adakah ada perkara yang terlepas pandang dalam siasatan awal?

Orang ramai mengharapkan agar semua persoalan terjawab dengan jelas. Demi Allahyarhamah Zara Qairina, kebenaran wajar didedahkan dan keadilan mesti ditegakkan.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments