SUNGAI BULOH, 12 Julai 2025 – Wanita UMNO Selangor hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan rasmi UMNO Negeri Selangor bertarikh 11 Julai 2025 yang menyambut baik pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara berhubung Titah Adendum Diraja dalam prosiding Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketuanya, Datuk Hajah Halimaton Saadiah binti Haji Bohan, Wanita UMNO Selangor menegaskan bahawa sokongan ini adalah selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang, penghormatan terhadap sistem Raja Berperlembagaan serta menjunjung kuasa mutlak pengampunan yang diperuntukkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Wanita UMNO Selangor berdiri teguh bersama kepimpinan tertinggi parti dalam memohon agar pelaksanaan Titah Adendum Diraja ini dapat disempurnakan segera, dengan tertib, berperlembagaan dan penuh hikmah,” ujar beliau dalam kenyataan itu.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan Titah Adendum tersebut adalah manifestasi nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan yang menjadi teras kepada institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kepada perpaduan dan kestabilan negara.
Wanita UMNO Selangor turut menzahirkan doa agar YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan penuh ketabahan dan semangat juang tinggi demi agama, bangsa dan tanah air.
Kenyataan itu hadir selepas Jabatan Peguam Negara tidak mempertikaikan keabsahan dan kewujudan Titah Adendum dalam prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan, sekaligus membuka jalan untuk pelaksanaannya yang dinantikan oleh pelbagai pihak dalam landskap politik dan perundangan negara.–THE MALAYA POST
Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply