Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAAngkat Bahasa Melayu di ASEAN, kukuhkan Bahasa Inggeris, Mandarin bahasa elektif

Angkat Bahasa Melayu di ASEAN, kukuhkan Bahasa Inggeris, Mandarin bahasa elektif

Di atas kertas, ia kelihatan menarik memperkenalkan bahasa Thai, Khmer dan Vietnam sebagai elektif di sekolah, atas nama jalinan diplomatik dan semangat ASEAN.

Namun di sebalik semangat serantau itu, kita wajar bertanya, mengapa bukan Bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa serantau utama, memandangkan ia ditutur oleh populasi terbesar di Asia Tenggara?

Adakah sistem pendidikan kita benar-benar bersedia, atau ini sekadar satu lagi dasar populis yang gah dalam pengumuman, tetapi rapuh dalam pelaksanaan?

Lebih penting, adakah negara-negara jiran turut menawarkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan mereka?

Jika ya, maka cadangan ini mencerminkan pertukaran diplomatik dua hala yang adil. Jika tidak, apakah rasional kita membuka ruang tanpa balasan yang setimpal?

Cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini menerima reaksi pelbagai. Ada pihak yang percaya pada nilai bahasa sebagai jambatan budaya. Ia sejajar dengan semangat ASEAN Socio-Cultural Community Blueprint 2025 dan menyokong wawasan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.

Namun tidak kurang juga ramai pihak yang tidak bersetuju kerana merasakan ia tidak relevan dalam konteks keperluan sebenar pendidikan hari ini.

Menurut laporan bertajuk “Bahasa pilihan elektif diperluas, termasuk bahasa ASEAN” oleh Malaysiakini pada 22 April 2025, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa bahasa serantau itu akan ditawarkan sebagai mata pelajaran elektif di sekolah-sekolah terpilih kononnya sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik serantau melalui pendidikan.

Namun satu perkara yang tidak boleh diketepikan ialah keutamaan terhadap Bahasa Melayu sendiri.

Kita sepatutnya memimpin ASEAN dalam memartabatkan Bahasa Melayu bukan sekadar membuka ruang kepada bahasa serantau lain tanpa naratif yang setara bagi bahasa kebangsaan kita.

Bahasa Melayu adalah milik serantau digunakan di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura, dan difahami di selatan Thailand dan wilayah-wilayah tertentu Filipina. Dari segi sejarah, budaya, dan populasi, ia jauh lebih layak untuk diangkat sebagai bahasa ASEAN.

Penguasaan dwibahasa Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris perlu diperkuat.

Kita mesti memperkukuh Bahasa Inggeris sebagai lingua franca global, yang penting dalam bidang pendidikan tinggi, ekonomi digital dan hubungan antarabangsa.

Sebarang dasar baharu mesti mengutamakan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global.

Pelaksanaan bahasa ASEAN sebagai elektif tidak boleh menjejaskan komitmen terhadap penguasaan Bahasa Inggeris.

Mandarin pula perlu diberi ruang sebagai bahasa elektif strategik.

Dalam konteks geopolitik dan ekonomi, China ialah rakan dagang utama Malaysia dan kuasa besar serantau.

Penguasaan Mandarin memberi kelebihan praktikal kepada pelajar kita, baik dari sudut kerjaya, pelaburan mahupun diplomasi.

Tetapi realitinya, kekurangan guru Mandarin di sekolah kebangsaan masih belum ditangani secara menyeluruh.

Jika benar mahu memperkenalkan elektif bahasa serantau, mengapa bukan Mandarin yang dikuatkan terlebih dahulu?

Sekurang-kurangnya, Mandarin mempunyai kesinambungan dalam sektor ekonomi dan sosial negara.

Utamakan guru tempatan, bukan bergantung kepada luar.

Dasar ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil jalan mudah dengan membawa masuk guru dari Kemboja, Thailand atau Vietnam bagi memenuhi kekosongan.

Di saat rakyat sendiri berdepan pengangguran graduan pendidikan dan isu guru interim yang belum selesai, keutamaan perlu diberi kepada pembangunan kapasiti tempatan.

Sebaliknya, ini peluang untuk melatih dan menambah nilai guru tempatan bukan membuka pintu kepada “ekonomi luar” melalui pintu belakang pendidikan.

Projek perintis: Ruang ujian sebelum luas.

Cadangan memulakan dasar ini secara perintis di sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa kerajaan dan sekolah berprestasi tinggi adalah langkah yang waras.

Namun, ia perlu disertakan dengan penilaian menyeluruh terhadap keperluan sebenar, bilangan guru, bahan bantu mengajar, dan penerimaan pelajar.

Tanpa fasa perintis yang ketat, dasar ini boleh menjadi beban tambahan kepada sekolah yang sedia bergelut dengan beban kurikulum dan kekangan sumber.

Dasar ini mesti selari dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kita tidak mahu dasar ini hanya terhenti di peringkat sekolah, tanpa kesinambungan di universiti dan pasaran kerja.

KPM dan KPT perlu selari dari segi dasar, modul, dan hala tuju, agar pelajar tidak menjadi mangsa dasar separuh jalan yang akhirnya sia-sia.

Bahasa Kebangsaan jangan diketepikan

Apa jua pengembangan dasar pendidikan, Bahasa Melayu mesti kekal sebagai tiang seri sistem kita.

Mahir dalam beberapa bahasa adalah kekuatan, bukan ancaman selagi Bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa perpaduan, ilmu, dan identiti nasional.

Penguasaan bahasa mesti seimbang akar kebangsaan, cawangan serantau, dan ufuk global.

Realitinya, dasar ini berpotensi besar jika dilaksanakan dengan cermat, berperingkat dan berpandukan keperluan sebenar.

Namun dasar pendidikan tidak boleh menjadi medan retorik. Ia menyentuh nasib anak-anak kita, masa depan tenaga pengajar kita, dan hala tuju negara.–THE MALAYA POST

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Malaya Post dan kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments