PUTRAJAYA, 1 Mac – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi memastikan sistem pendidikan negara bebas daripada sebarang isu ketidakpatuhan dan salah laku.
Dalam usaha memperkasakan perkara ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Kadir telah mempengerusikan Sesi Pembentangan Mengenai Pengurusan Tatakelola dan Pengukuhan Unit Integriti Universiti Awam, di mana beberapa langkah strategik telah dipersetujui untuk meningkatkan keberkesanan Unit Integriti di setiap universiti.
Menurut beliau, KPT sentiasa mengambil serius isu integriti dalam kalangan warga IPT serta agensi di bawah kementerian, dan pihaknya berusaha menambah baik segala bentuk tindakan yang dapat memperkukuh nilai ketelusan serta akauntabiliti dalam institusi pendidikan tinggi.
Antara langkah utama yang dipersetujui dalam sesi perbincangan tersebut adalah mengukuhkan Unit Integriti di setiap Universiti Awam dengan memperluaskan fungsinya serta menambahbaik sistem pemantauan dan pelaporan isu integriti.
Dr. Zambry turut memaklumkan bahawa cadangan untuk menempatkan pegawai kanan di Unit Integriti setiap universiti turut diangkat, bagi memastikan unit ini dapat beroperasi dengan lebih berkesan dan memainkan peranan lebih besar dalam memastikan tadbir urus yang cekap serta berlandaskan prinsip ketelusan.
“Selain memperkukuh Unit Integriti sedia ada, kita juga bersetuju untuk memperluaskan peranan unit ini dengan mematuhi serta mengadaptasi pekeliling-pekeliling persekutuan yang berkaitan, agar ia sejajar dengan dasar dan tatakelola terbaik dalam sektor awam,” katanya.
Langkah memperkasakan Unit Integriti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan IPT bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga model ketelusan dalam pengurusan organisasi.
KPT berharap bahawa dengan pengukuhan Unit Integriti, isu-isu berkaitan salah laku, ketidakpatuhan terhadap prosedur, serta tatakelola yang lemah dapat ditangani dengan lebih berkesan, sekaligus meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi negara.
“Kita mahu memastikan bahawa IPT kita berada pada tahap yang terbaik bukan sahaja dalam aspek akademik, tetapi juga dari segi pengurusan dan integriti. Langkah ini akan memastikan setiap universiti awam terus berkembang sebagai institusi yang kredibel dan dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa,” tambah Dr. Zambry.
Dengan pelaksanaan inisiatif ini, KPT optimis bahawa sistem pendidikan tinggi negara akan lebih berdaya tahan dalam menangani cabaran integriti serta menjadi contoh kepada sektor lain dalam mengamalkan budaya ketelusan, akauntabiliti, dan profesionalisme.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply