Kuala Lumpur, 14 Februari 2025 – Malaysia memiliki ramai sarjana bertaraf dunia yang diiktiraf atas penulisan dan kajian mereka, sekali gus menjadi rujukan utama dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Kadir, menegaskan perkara itu ketika berucap di Majlis Anugerah Malaysia’s Research Star Award (MRSA) 2025 malam tadi.
Beliau menyebut beberapa tokoh akademik tersohor negara, termasuk Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pakar pemikir peradaban Islam, Profesor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman, pakar perubatan dan akademik bertaraf dunia, serta Dr. Syed Husin Ali, tokoh sosiologi terkenal.
“Malaysia tidak ketandusan pakar dalam pelbagai bidang. Kita perlu terus menyokong dan menghargai penyelidik tempatan agar mereka dapat mengharumkan nama negara,” katanya.

Dalam usaha menghargai penyelidik yang menghasilkan penerbitan berkualiti tinggi yang diindeks dalam Web of Science, Dr. Zambry mengumumkan insentif tambahan RM1,000 kepada setiap penerima MRSA sebagai motivasi untuk meneruskan kecemerlangan dalam penyelidikan akademik.
MRSA, yang mula dianugerahkan sejak 2015, adalah penghormatan kepada penyelidik tempatan dan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang mencapai tahap penerbitan bertaraf antarabangsa. Sehingga kini, 102 penyelidik dan IPT telah menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini turut mendapat sokongan Clarivate Analytics sejak 2012 melalui Jurnal Citation Report Malaysia (CREME), yang menilai jurnal tempatan berimpak tinggi.

Dalam ucapannya, Dr. Zambry turut menekankan kepentingan penerbitan ilmiah berindeks dalam meningkatkan reputasi dan kualiti IPT di Malaysia. Namun, beliau memberi amaran terhadap peningkatan jumlah jurnal pemangsa (predatory journal) yang beroperasi tanpa proses editorial dan semakan rakan sebaya (peer review) yang sah.
“Kita perlu pastikan setiap penerbitan yang dihasilkan memenuhi standard akademik yang sepatutnya. Jika tidak, ia boleh menjejaskan integriti penyelidikan dan kepercayaan terhadap akademia secara keseluruhan,” tegasnya.

Majlis MRSA 2025 turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, bersama barisan penerima anugerah yang diraikan dalam satu majlis penuh penghargaan.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply