KUALA LUMPUR, 12 Februari – Pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47 dijangka membawa perubahan ketara dalam landskap geopolitik global yang semakin kompleks.
Dalam situasi ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir membayangkan ASEAN berpotensi memainkan peranan lebih signifikan sebagai ‘middle power’, bertindak sebagai kuasa pengimbang di tengah-tengah persaingan antara kuasa besar dunia.
Dalam forum ilmiah Better Nation Forum (BN Forum) yang berlangsung di Auditorium Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi, ahli akademik dan penganalisis geopolitik turut sependapat bahawa kepulangan Trump ke Rumah Putih menandakan perubahan besar dalam hubungan antarabangsa, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry menjelaskan peranan ASEAN bukanlah untuk berkonfrontasi, tetapi lebih kepada memastikan keseimbangan kuasa di tengah-tengah persaingan antara Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, dan Eropah.
“Kita tidak mahu melihat satu negara sahaja mendominasi dunia dalam era unipolar. Sekarang dunia bergerak ke arah multipolar dengan kuasa besar seperti China, Rusia, dan Kesatuan Eropah turut bersaing. ASEAN harus menggunakan kedudukannya sebagai kuasa pengimbang, terutama ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
Dunia berubah ke arah multipolar
Sebelum ini, dunia didominasi oleh satu kuasa besar, terutamanya selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada awal 1990-an. Namun, perkembangan terkini menunjukkan bahawa unipolariti semakin pudar dengan kemunculan pelbagai pusat kuasa yang mencorakkan dinamika politik antarabangsa.
Itu kata Profesor Emeritus Dr. Johan Saravanamuttu dari Universiti Sains Malaysia.
Katanya pendekatan ‘America First’ yang kembali dibawa oleh Trump akan memperkukuhkan persaingan dengan China dan Rusia.
“ASEAN perlu mengadaptasi pendekatan fleksibel dalam menangani tekanan geopolitik ini. Dengan kedudukan geografi yang strategik, ASEAN mampu menjadi ‘balancer’ dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu,” katanya.

Dalam konteks perdagangan global pula, Dr. Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menegaskan bahawa ASEAN boleh mengambil kesempatan daripada perubahan polisi perdagangan AS yang cenderung lebih proteksionis.
“Trump dijangka lebih agresif dalam dasar perdagangan, termasuk kemungkinan mengenakan tarif lebih tinggi terhadap China. Ini membuka peluang kepada ASEAN untuk mengukuhkan hubungan dengan kedua-dua kuasa ini dan menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini,” ujarnya.

Cabaran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia menghadapi cabaran besar dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi serantau.
Menurut Prof Madya Dr. Khoo Ying Hooi dari Universiti Malaya, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN kali ini amat penting dalam menentukan hala tuju rantau ini di tengah-tengah ketegangan kuasa besar.
“Malaysia perlu memastikan ASEAN tidak terperangkap dalam persaingan antara AS dan China. Kita harus menjadi pemudah cara kepada dialog dan rundingan bagi mengelakkan ketegangan meningkat,” katanya.
Sementara itu, Elina Noor, Felo Kanan Program Asia di Carnegie Endowment for International Peace, yang menyertai forum secara maya, menekankan kepentingan kestabilan serantau bagi memastikan ASEAN terus berdaya saing dalam perdagangan global.
“Kestabilan rantau ini adalah faktor utama yang menarik pelabur asing. Jika ASEAN mampu mengekalkan keamanan dan kestabilan politik, kita boleh menjadi hab ekonomi utama di Asia,” katanya.
Masa Depan ASEAN dalam Era Trump
Yang nyata, pemilihan semula Donald Trump dijangka membawa cabaran dan peluang baharu bagi ASEAN dalam menghadapi landskap geopolitik global yang semakin dinamik.
Tambah Datuk Seri Dr Zambry, dengan dunia yang bergerak ke arah multipolariti, peranan ASEAN tidak lagi sekadar mengikut arus kuasa besar, tetapi turut menentukan hala tuju sendiri dalam pelbagai isu global, termasuk perdagangan dan keselamatan serantau.
“Bagi Malaysia, sebagai peneraju ASEAN tahun ini, keputusan dan tindakan diplomatik yang diambil akan menjadi penentu sama ada rantau ini mampu tampil sebagai pemain utama dalam percaturan geopolitik global atau sekadar pemerhati dalam pertembungan kuasa besar,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr. Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menjadi Moderator Forum Better Nation (BN) yang bertajuk Impak Pemilihan Trump dan Dasar-dasarnya ke atas dunia di Auditorium Menara Dato Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Antara panel forum ialah Profesor Emeritus Universiti Sains Malaysia, Prof Emeritus Dr Johan Saravanamuttu; Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan dan Prof Madya Dr Khoo Ying Hooi dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya.
Ia juga disertai secara maya, Felo Kanan Program Asia di Carnegie Endowment for International Peace, Elina Noor.

Lebih 300 hadirin memenuhi Auditorium Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.
BN Forum akan diteruskan ke siri kedua, yang akan membincangkan Kecerdasan Buatan (AI)—satu topik yang semakin mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan masa kini dan masa hadapan.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply