Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong di Istana Negara.
Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung di Dewan Seri Mahkota kira-kira satu jam itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Wong yang dalam lawatan rasmi dua hari beliau bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 hari ini, tiba bersama delegasi di Istana Negara kira-kira 8.30 pagi.
Terdahulu Wong, yang diiringi delegasi rasmi dari Singapura, disambut dengan penuh adat istiadat diraja sebaik tiba di Istana Negara.
Agenda Perkukuh Hubungan Dua Hala
Yang pasti, pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 kali ini dijangka menjadi platform penting bagi kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu semasa dan merangka hala tuju baharu kerjasama bilateral.
Antara agenda utama yang dijangka diketengahkan ialah pemerkasaan ekonomi digital, pemulihan pasca-pandemik, pembangunan mampan, serta pengukuhan hubungan rakyat dengan rakyat.

Dalam kunjungan ini, kedua-dua pihak turut dijangka menandatangani beberapa perjanjian strategik bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang berimpak tinggi.
Hubungan erat antara Malaysia dan Singapura telah lama menjadi model kerjasama serantau yang produktif, dengan kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam memperkukuh kestabilan dan kemakmuran di rantau ASEAN.

Sebagai jiran terdekat dengan hubungan ekonomi yang kukuh, Malaysia dan Singapura kekal komited untuk mempereratkan kerjasama strategik demi kepentingan bersama.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply