Putrajaya, 2 Jan – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, bakal melancarkan beberapa buku baharu hasil nukilannya yang kini berada di peringkat akhir penyuntingan.
Buku-buku ini, ditulis dengan penuh dedikasi di sebalik kesibukan beliau sebagai pemimpin negara, dijangka menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Dato’ Sri Zambry, kebanyakan idea untuk penulisan buku ini tercetus semasa waktu lapang, terutamanya sebelum tidur atau ketika dalam perjalanan rasmi ke luar negara.

“Saya manfaatkan masa lapang untuk menulis kerana percaya ilmu perlu dikongsi untuk manfaat bersama,” tulis beliau di Facebook.
Yang nyata buku-buku ini membawa tema yang relevan dengan isu-isu semasa, termasuk pendidikan tinggi, kepimpinan, dan pembangunan masyarakat.
“Lewat petang tadi, saya bersama dengan kumpulan editorial yang membantu saya memastikan setiap pengisian dan isi kandungan yang dimasukkan adalah bertepatan dengan tajuk buku, ” jelas beliau.

Dalam pada itu Menteri Pendidikan Tinggi itu juga berharap buku-buku ini menjadi sumber ilmu dan inspirasi, terutama kepada generasi muda.
“Penulisan adalah cara untuk kita berkongsi pengalaman dan pandangan, supaya ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya.
Buku-buku ini dijangka diterbitkan pada tahun ini, dengan pelancaran rasmi yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Yang jelas inisiatif ini mencerminkan dedikasi Dato’ Sri Zambry bukan sahaja dalam pentadbiran, tetapi juga dalam memperkayakan dunia ilmu dan pendidikan.–THE MALAYA POST

Leave a Reply