Thursday, November 19, 2026
HomeBERITAKeluar dari ‘Echo Chamber’: Kunci kepada Pemikiran Politik yang Bebas

Keluar dari ‘Echo Chamber’: Kunci kepada Pemikiran Politik yang Bebas

Minggu lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir memberikan peringatan yang amat relevan tentang bahaya terperangkap dalam ‘echo chamber’.

Ketika ucaptamanya pada sambutan ulang tahun BN ke-50 baru-baru ini, beliau berkata ahli-ahli parti BN perlu mengelak daripada bersikap terasing dalam dunia sendiri sehingga menafikan realiti politik hari ini.

Sumber foto UMNO Online

Jelasnya, sikap sedemikian, yang hanya bergantung kepada keyakinan bahawa kelompok sendiri berada dalam keadaan terbaik, tanpa mengambil kira pandangan lain, adalah satu bentuk ilusi yang merugikan.

Ironinya, dalam era digital yang serba canggih, wacana politik sering kali terperangkap dalam fenomena ‘echo chamber’ yang mengekang pemikiran kritikal dan memperkukuhkan pandangan sedia ada.

‘Echo chamber’ berlaku apabila individu hanya berinteraksi dengan pandangan yang serupa, mewujudkan ruang tertutup yang kurang memberi ruang kepada perspektif berbeza.

Walaupun suasana ini kelihatan selesa, ia boleh membatasi perkembangan diri dan melemahkan keupayaan berfikir secara kritikal.

Bahaya ‘Echo Chamber’ dalam Politik

Dalam dunia politik, ‘echo chamber’ menimbulkan ancaman besar kerana ia menyemarakkan polarisasi.

Memetik artikel “The Impact of Social Media on Political Polarization”, oleh Polycarp Otieno menjelaskan bagaimana algoritma media sosial memperkukuhkan polarisasi politik melalui fenomena ‘filter bubble’, yang mengehadkan pengguna kepada kandungan yang selari dengan pandangan mereka.

Teori ‘Filter Bubble’ dan ‘Spiral of Silence’ menjelaskan kecenderungan pengguna untuk menyuarakan pandangan yang sama, yang akhirnya mengehadkan perbincangan terbuka.

Selain itu, media sosial memburukkan lagi keadaan ini melalui algoritma yang memaparkan kandungan berdasarkan kecenderungan pengguna.

Menurut satu kajian oleh Reuters Institute iaitu “Echo Chambers, Filter Bubbles, and Polarisation”, ruang gema ini berpotensi memperkukuhkan pandangan politik sedia ada dan menghalang pendedahan kepada idea yang berbeza.

Walaupun terdapat kebimbangan tentang ruang gema dan gelembung penapis yang mempercepatkan perpecahan politik, kajian mendapati bahawa tidak semua pengguna terperangkap dalam fenomena ini kerana masih ada pendedahan kepada sumber media yang pelbagai.

‘Echo Chamber’ dalam Kempen Trump dan Harris

Fenomena ‘echo chamber’ ini jelas tergambar dalam kempen-kempen Donald Trump dan Kamala Harris.

Trump, misalnya, memanfaatkan platform seperti Truth Social dan X (Twitter) untuk menyampaikan mesej yang menyokong ideologinya kepada penyokong konservatif.

Pendekatan agresif Trump mensasarkan pengundi yang sudah cenderung menyokong pandangannya, mencipta ruang di mana kritikan atau pandangan yang bertentangan jarang ditemui.

Strategi ini menjadikan penyokong Trump lebih terdedah kepada mesej yang menyokong agenda beliau, mengukuhkan lagi kepercayaan mereka dalam ‘echo chamber’ yang terhasil.

Sumber foto The Daily Guardian

Sebaliknya, Kamala Harris menggunakan platform seperti Instagram dan TikTok untuk mencapai pengundi muda yang lebih progresif.

Dengan memberi tumpuan kepada isu-isu kesaksamaan dan hak asasi manusia, kempen Harris cuba mencipta suasana inklusif yang meraikan kepelbagaian.

Namun, walaupun terdapat usaha untuk mendekati pelbagai demografi, platform media sosial seperti Instagram dan TikTok masih cenderung membentuk ‘echo chambers’ dalam kalangan pengundi muda, di mana mereka lebih terdedah kepada mesej yang selari dengan nilai progresif yang mereka pegang.

Membina Hubungan yang Melangkaui Sistem Kepercayaan

Untuk keluar dari ‘echo chamber’ politik, individu perlu membina hubungan berdasarkan nilai sejagat, bukan hanya kepercayaan politik.

Sumber diagram Zestythings.com

Menurut Polycarp Otieno (2024), hubungan sosial yang pelbagai boleh menggalakkan pemikiran kritikal dan mengurangkan polarisasi.

Walaupun perbincangan dengan individu berbeza mungkin kurang selesa, ini adalah cara terbaik untuk memahami isu dari pelbagai sudut.

Kuasa Hormat dan Kefahaman

Menghadapi pandangan politik yang berbeza dengan penuh hormat dan fikiran terbuka adalah penting.

Menurut artikel “Examining the Language of Politics and the Politics of Language” oleh Aboothar Taher, menjelaskan bahawa menghormati pandangan berbeza membantu mewujudkan suasana wacana politik yang sihat.

Dalam pada itu satu lagi kajian oleh ahli Akademik Fairclough & Van Dijk, “Political Discourse Analysis” atau (PDA) menunjukkan politik sebagai simbolisme di mana bahasa membentuk dan mencerminkan realiti politik.

Menerusi PDA ini Fairclough dan Van Dijk menekankan bahawa wacana politik bukan sekadar ucapan rasmi tetapi turut hadir dalam bahasa harian dan perdebatan kuasa dalam masyarakat.

Kesimpulan

Landskap politik moden sangat kompleks, dan ‘echo chamber’ menghalang wacana yang terbuka serta memperlahankan pembangunan pemikiran kritikal.

Untuk memupuk pemikiran yang lebih bebas dan terbuka, seseorang perlu berani keluar dari zon selesa dan berinteraksi dengan pelbagai pandangan.

Realiti menunjukkan bahawa walaupun media sosial boleh menjadi saluran maklumat inklusif, ia juga sering kali berfungsi sebagai alat propaganda, menimbulkan persoalan mengenai kepelbagaian pandangan dan kebebasan dalam politik masa kini.–THE MALAYA POST

Penulis, Nik Suryani Megat Deraman merupakan Ketua Pengarang The Malaya Post dan kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Media di Universiti Utara Malaysia.

Langgan saluran kami untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

Saluran YouTube The Malaya Post

https://www.youtube.com/@TheMalayaPost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments